TUMPAT - ‘Kuaci Ketawa’, kedengarannya agak lucu namun nama itu yang menjadi rahsia di sebalik kejayaan perniagaan makanan ringan tersebut sehingga mampu menghasilkan 600 botol sehari dengan hasil jualan sekitar RM40,000 sebulan.
Kegigihan Anis Ayuni Mohammed, 30, mencari nama yang unik bagi menarik perhatian pembeli terhadap produk kuaci bunga matahari berperisa yang diusahakannya, terbukti berbaloi apabila akhirnya ia mampu berdiri sama gah dengan dengan produk makanan ringan lain.
Katanya, nama 'Kuaci Ketawa' itu diperoleh sewaktu beliau menyertai kursus perniagaan di Kota Bharu, Kelantan apabila mentornya yang hanya dikenali dengan panggilan 'Cef E', mengesyorkan supaya meletakkan nama yang unik dan mudah diingati pada setiap produk yang diusahakan.
"Ketika dalam kelas tersebut, saya cuba mencari beberapa nama yang unik sehingga mencetuskan gelak ketawa dan pada waktu itulah mentor saya cadangkan kepada saya supaya menggunakan nama 'Kuaci Ketawa'.
"Sebaik sahaja mendengar perkataan itu, saya tanpa berfikir panjang terus setuju dengan nama itu," katanya ketika ditemui di kilangnya, di Kampung Periok, Tumpat pada Jumaat.
Bercerita lanjut mengenai perniagaan yang ceburi, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia memulakan perniagaan dengan modal RM2,000 dan di peringkat awal, pelbagai dugaan dan jatuh bangun terpaksa ditempuhi sebelum mampu berdiri teguh seperti hari ini.
"Banyak jenis perniagaan saya cuba daripada menjual produk kecantikan hinggalah makanan. Dari situ, saya ambil semua ilmu yang saya pelajari, sehingga akhirnya memutuskan untuk menghasilkan dan memasarkan produk sendiri," katanya yang mendapat bekalan kuaci daripada pembekal di Kuala Lumpur.
Anis Ayuni berkata, dia mengolah sendiri resipi kuaci tersebut dengan menjadikan media sosial terutama YouTube sebagai sumber rujukan, bagi memberikan kelainan rasa kepada pelanggan, sekali gus membezakannya dengan jenama kuaci yang lain.
Katanya, buat masa ini terdapat empat pilihan rasa iaitu barbeku, tomyam, asli dan pedas yang dijual pada harga RM13 sebotol.
"Selain dipasarkan di kedai-kedai runcit dan serbaneka serta menerusi platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, produk saya ini juga telah menembusi pasaran hingga ke Singapura,” katanya yang dibantu empat pekerja.
Anis Ayuni berkata, dia tidak menyangka kecekalan dan kerja keras mengusahakan produk itu sejak 2017 telah membawanya hingga ke tahap sekarang.
"Saya percaya setiap sesuatu perkara yang dilakukan perlu disusuli dengan usaha dan tawakal untuk memperoleh kejayaan," ujarnya. - Bernama