Pinda Akta 342: AMK persoal jaminan rakyat tidak terbeban

Iklan
Aizuddin

ALOR SETAR - Perincian garis panduan terhadap pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit 1998 (Akta 342) dibimbangi hanya akan mewujudkan banyak kelompongan.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Aizuddin Ariffin berkata, kegagalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membentangkan perincian rang undang-undang yang bakal dilaksanakan itu tidak dapat menjamin keadilan dan boleh dipertikai kredibilitinya.

Iklan
Iklan

Beliau mempersoalkan, apakah jaminan daripada kerajaan bahawa pindaan akta terbabit tidak akan membebankan atau memberi tekanan kepada rakyat.

"Saya tidak menolak untuk menyokong cadangan tersebut, namun undang-undang berasaskan ‘tangkap muat’ dengan perincian yang longgar tidak memberi jaminan ia tidak bebankan rakyat.

Iklan

"Sebagai contoh, hukuman kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara tujuh tahun atau kedua-duanya sekali. Ini adalah satu bentuk kezaliman dan tidak masuk akal,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Aizuddin turut melahirkan kebimbangan pelaksanaan pindaan Akta 342 itu akan menyebabkan rakyat terus ‘ditekan’ tatkala polisi dua darjat yang membeza-bezakan layanan antara rakyat dan menteri seperti diamalkan oleh kerajaan selama ini masih menjadi amalan pemerintah.

Iklan

"Cadangan peruntukan baharu dan pindaan terhadap peruntukan sedia ada, seperti pindaan Seksyen 10 (pemberitahuan kewujudan penyakit berjangkit di mana-mana premis), Seksyen 15A (penggunaan teknologi untuk kaedah pengasingan dan kuarantin) dilihat mampu mengawal penyebaran penyakit berjangkit namun perlu diberi ruang untuk dibahaskan secara terperinci,” katanya lagi.

Menurutnya, biarpun komitmen Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar agak ke hadapan, namun apa yang lebih penting adalah kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik rakyat tentang pentingnya menjaga SOP dan kesihatan ketika berdepan pandemik.

"Fokus utama adalah meningkatkan sistem dan pengurusan kesihatan negara. Perbincangan harus lebih bertumpu kepada mengurus pandemik dan usaha untuk penghasilan vaksin sendiri daripada kebergantungan kepada negara luar yang hanya menguntungkan sesetengah pihak,” katanya.

Aizuddin turut mencadangkan agar KKM menilai semula SOP penting dalam pengurusan hospital berdepan pandemik.

"Banyak lagi yang perlu dilakukan, antaranya menaik taraf fasiliti, tambah jumlah doktor, jururawat, staf sokongan dan petugas kesihatan,” katanya.

Pada Jumaat, Khairy Jamaluddin memaklumkan RUU Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) terlebih dahulu sebelum bacaan kedua dan ketiga di Dewan Rakyat pada Isnin depan.

Beliau berkata, ia mengambil kira pandangan diberikan dan kepentingan kesihatan awam negara yang pihaknya akan meneruskan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan serta meneliti semula RUU pindaan Akta 342.

ARTIKEL BERKAITAN: Khairy tangguh bentang Akta 342

Pindaan Akta 342 akan dimurnikan terlebih dahulu: Khairy