PUCHONG - Seramai 64 pelajar dalam kalangan keluarga B40 termasuk anak yatim menerima sumbangan kelengkapan persekolahan daripada KDEB Waste Management (KDEBWM) di Bandar Kinrara di sini.
Pengurus Besar Operasi KDEBWM, Mohd Idris Mohamed Yusof berkata, sumbangan itu membabitkan peruntukan RM10,000 dengan pelajar daripada empat sekolah terpilih dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara.
Katanya, empat sekolah tersebut ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kinrara, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Puchong Jaya (A), Sekokah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yak Chee dan SMK Pusat Bandar Puchong (1).
"Pelajar daripada empat sekolah terpilih itu menerima barangan seperti pakaian dan kelengkapan persekolahan jenama Canggih yang mengandungi baju sekolah lengan pendek, seluar panjang sekolah bagi pelajar lelaki.
"Sementara, pelajar perempuan akan menerima set baju kurung bersama tudung atau set baju pinafore, kasut sekolah, stokin, beg sekolah, seluar 'track bottom' serta pelitup muka," katanya pada Program Penyerahan Sumbangan Back To School 2022 anjuran KDEBWM di sini.
Program berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Bandara Subang Jaya (MBSJ) BK5, Bandar Kinrara itu disempurnakan Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara.
Dalam pada itu, Mohd Idris berkata, inisiatif pemberian sumbangan kelengkapan persekolahan itu diharap dapat memberi peluang kepada pelajar kurang berkemampuan untuk meneruskan pembelajaran mereka dengan baik.
Malah, KDEBW turut berharap dengan keprihatinan itu ia dapat untuk mempertingkatkan prestasi akademik serta memberi dorongan dan sokongan moral kepada ibu bapa serta keluarga dalam membantu memperkasa tahap pendidikan anak-anak.
"Penganjuran program seumpama ini juga dapat mengukuhkan hubungan antara KDEBWM dan
pihak Pusat Khidmat DUN Kinrara iaitu kedua-dua pihak mempunyai satu objektif iaitu mengurangkan beban golongan yang kurang berkemampuan.
"KDEBWM sentiasa menyambut baik dan menyokong program-program seumpama ini yang dapat memberi manfaat kepada orang ramai," katanya.