SEREMBAN – Penyelaras Dun Rantau, Dr S Streram mendakwa Datuk Seri Mohamad Hasan gagal memainkan peranannya sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.
Beliau berkata, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu masih gagal menyelesaikan masalah banjir kilat yang kerap berlaku di Kampung Bemban, di sini, meskipun aduan telah pun dibuat penduduk.
"Saya diberitahu setiap kali hujan lebat, lebih kurang 10 rumah yang akan terjejas di sini dan paling teruk berlaku dua tahun lalu.
"Bagi saya dia gagal sebagai seorang pemimpin kerana masalah ini pun tidak mampu diselesaikan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan dengan wakil Jabatan Pengairan Saliran(JPS) dan Jabatan Kerja Raya(JKR) ke kawasan Kampung Bemban, di sini, semalam.
Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu, JPS akan memulakan kerja-kerja membersihkan dan mendalamkan Sungai Bemban bermula hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau berkata, kerja-kerja berkenaan melibatkan pembersihan sepanjang dua kilometer sungai terbabit dengan kos RM20,000.
Ditanya berkenaan Mohamad yang ditafsir masih mampu mengekalkan momentum sebagai pemimpin yang disegani, Streram berkata, sesiapa pun mempunyai pandangan tersendiri.
"Tok Mat ada kredibilitinya sendiri, begitu juga dengan saya. Seperti yang saya pernah nyatakan sebelum ini dan melihat kepada senario politik hari ini, saya yakin rakyat akan memilih PH.
"Walaupun masih belum pasti bila PRK Dun Rantau, tapi saya akan terus bekerja dan berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Streram juga menyatakan keyakinan sokongan kaum India terhadap dirinya dan PH disifatkan sebagai ‘solid’.
Malah, pakar bius itu juga konsisten untuk beri sokongan kepada sesiapa sahaja calon PKR yang diangkat sebagai calon Dun Rantau.
"Saya tiada masalah dengan sesiapa pun dan mempunyai hubungan baik dengan empat lagi calon yang disenaraikan.
"Sama ada nama saya diumum sebagai calon atau tidak, saya tetap akan beri komitmen demi kemenangan PH,” katanya.
Tok Mat gagal sebagai Adun Rantau: Streram
Iklan