Penglibatan agensi ambil pekerja asing berdaftar mampu bendung rasuah

Iklan
Kerajaan digesa melibatkan peranan agensi pengambilan pekerja asing berdaftar dalam mempercepatkan proses membawa masuk pekerja asing dalam membendung rasuah dan amalan orang tengah. Gambar kecil: Dr Sukumaran Nair

SHAH ALAM - Kerajaan digesa melibatkan peranan 1,040 agensi pengambilan pekerja asing berdaftar di negara ini bagi menjadi pengantara dalam mempercepatkan kemasukan pekerja asing untuk memenuhi keperluan banyak sektor ekonomi pada pasca pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma), Dr Sukumaran Nair berkata, langkah tersebut perlu dipertimbangkan sebagai melancarkan aliran pengambilan dan menghentikan rasuah serta penglibatan orang tengah dalam agenda pengambilan pekerja asing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif kerajaan bagi pengambilan pekerja asing disifatkan tepat pada masanya bagi memenuhi kekurangan kritikal pekerja dalam semua sektor di negara ini selepas banyak sektor ekonomi dibuka semula pasca pandemik Covid-19.

"Papsma yang terdiri daripada empat persatuan di Malaysia menggesa Kementerian Sumber Manusia menghentikan pengambilan terus daripada individu atau syarikat bagi menjaga keselamatan dan kebajikan setiap pekerja sama ada tempatan atau asing dalam sektor pekerjaan.

Iklan

"Kami bekerjasama rapat dalam pengambilan pekerja dari negara asal dan menjadi perantara antara kerajaan, pekerja dan majikan dalam memastikan setiap pekerja dilindungi, selamat dan terjamin di bawah Akta Kerja 1955,” katanya dalam kenyataan pada Khamis..

Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju agar pengambilan pekerja asing dibuka untuk semua sektor, selain daripada sektor perladangan yang telah dipersetujui sebelum ini.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet setuju pengambilan pekerja asing dibuka

Kata Saravanan, pengambilan pekerja asing ini akan dibuka untuk sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing iaitu perladangan, pertanian, perkilangan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari, pembinaan dan perkhidmatan domestik.

Dalam pada itu, Sukumaran berkata, Papsma turut menguatkuasakan aplikasi digital Working For Workers (WFW) yang disediakan Kementerian Sumber Manusia dalam memastikan tiada pekerja yang dihukum atau dilayan dengan buruk oleh mana-mana majikan.

Jelas beliau, aplikasi digital itu bermanfaat untuk memastikan tiada sebarang penganiayaan terhadap mana-mana pekerja dan pekerja boleh membuat aduan rasmi melalui aplikasi itu untuk tindakan segera.

"Kami akan memastikan setiap pekerja asing yang masuk ke negara ini untuk mendapatkan pekerjaan secara sah dan meninggalkan negara secara sah selepas kontrak pekerjaan mereka tamat,'' katanya.