KUCHING - Sebanyak 11 peratus daripada keseluruhan pengundi biasa Sarawak telah mengundi pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) setakat jam 9 pagi sejak pusat mengundi dibuka pada 7.30 pagi tadi, menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sebanyak 1,866 pusat mengundi membabitkan 3,555 saluran disediakan dan bergantung kepada jumlah pengundi, beberapa pusat mengundi dijangka ditutup secara berperingkat seawal jam 12 tengah hari sebelum proses pengundian berakhir sepenuhnya pada 5 petang.
PRN12 membabitkan 1,213,769 pengundi biasa daripada sejumlah 1,252,014 pemilih berdaftar yang akan diuruskan olehi 46,565 pegawai pilihan raya di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Pada 14 Disember lalu, sejumlah 18,141 daripada 20,360 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka manakala 17,885 lagi mengundi melalui pos.
PRN Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 perlawanan empat penjuru, 24 pertarungan lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan 82 calon diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) 73, Parti Sarawak Bersatu (PSB) 70, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 28, DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) 15, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) 11, Parti Amanah Negara (Amanah) lapan, Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) lima dan PaS (1).
30 Bebas turut bertanding pada PRN itu. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my