UMNO Pulau Pinang sokong Ismail Sabri, Zahid

Iklan
Musa (dua dari kanan) menyerahkan cenderahati dan sijil penghargaan kepada ahli veteran UMNO Bahagian Bukit Mertajam pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di Seberang Jaya pada Sabtu.

SEBERANG JAYA - UMNO Pulau Pinang meluluskan usul menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO.

Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, sebagai menghormati pendirian parti, UMNO Pulau Pinang menyokong keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) untuk Ismail Sabri memperkuatkan kerajaan, manakala Ahmad Zahid pula memperkasakan parti.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, UMNO Pulau Pinang merasakan kedua-dua pemimpin itu perlu bekerjasama demi masa depan negara dan parti.

"UMNO Pulau Pinang sebulat suara menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan Ahmad Zahid sebagai Presiden. Soal pilihan raya atau pemilihan, saya sebagai ahli MKT akur keputusan yang dibuat MKT.

Iklan

"Dalam UMNO Pulau Pinang pun kita mengambil keputusan untuk menuruti keputusan MKT. Ini kerana kita orang parti, kena ikut arahan parti. Sebab jawatan yang kita pegang ini adalah jawatan daripada UMNO.

"Oleh itu, parti kena diutamakan dahulu. Kita menang apa pun adalah kerana parti. Jadi, apa juga arahan, kena akur. Tidak boleh buat apa yang kita fikir tanpa memikirkan keputusan parti," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sini pada Sabtu.

Iklan

Musa berkata, UMNO Pulau Pinang mengutamakan perpaduan dalam parti dengan meletakkan parti sebagai perkara paling utama.

"Perpaduan dan imej parti adalah perkara paling mustahak bagi UMNO Pulau Pinang. Kita akan terus bekerja untuk memastikan parti terus kukuh di bawah kepimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO.

"UMNO Pulau Pinang yakin dengan kepimpinan Ismail Sabri untuk memastikan negara terus kukuh, keselamatan rakyat terjamin selain memulihkan semula negara.

"Kami juga yakin dengan kepimpinan Ahmad Zahid dalam mengemudi UMNO untuk memenangi hati rakyat dan pengundi," ujar beliau.