PASIR GUDANG - Sokongan UMNO terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya bersifat sementara sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti tersebut bersetuju menyokong kerajaan sedia ada kerana mahu mengutamakan pemulihan negara akibat pandemik Covid-19.
Jelas bekas Menteri Besar Johor itu, sekiranya tidak disokong ramai orang Melayu akan terkesan dan terhimpit.
"Walaupun kerajaan sekarang dipimpin oleh pemimpin UMNO, ia bukan kerajaan UMNO, ia hanya mempunyai Perdana Menteri daripada UMNO. Ia adalah kerajaan interim. Sebuah kerajaan yang terbentuk tanpa mandat rakyat.
"Kita menyokong penuh Perdana Menteri dan menyokong Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) untuk kestabilan tetapi semuanya sementara," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Johor Jaya, Johor Jaya di sini pada Sabtu.
Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, UMNO tidak boleh membiarkan kerajaan Persekutuan dengan sokongan sedia ada untuk menguruskan Malaysia yang sudah tiga kali bertukar Perdana Menteri dalam tempoh 43 bulan.
Dalam pada itu, beliau berkata, masih ada pemikiran gemar bergantung kepada parti lain untuk memerintah negara.
"Budaya nyawa simpanan mesti dibuang. Jangan sesekali meminta-minta nyawa daripada orang lain dan kita sudah pastinya tidak akan memberikan nyawa kepada orang lain.
"Khususnya mereka yang di tangan kanannya ada nyiru untuk menadah simpati tetapi di tangan kiri ada gunting untuk menikam kita sampai mati," katanya.
Sementara itu, di PONTIAN, UMNO Johor menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, sokongan itu tidak perlu diterjemahkan dalam bentuk usul atau undian di peringkat 26 UMNO bahagian di negeri ini.
Ketua UMNO Bahagian Pontian itu juga berkata, pergeseran dalam politik antara perkara yang biasa dilalui namun tidak perlu mengheret akar umbi untuk membuktikan sokongan kepada seseorang pemimpin di dalam UMNO.
"Ada gesaan dibuat agar UMNO Johor perlu berikrar nyatakan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Perlukah ikrar ini dibuat?
"Bukan tidak pernah ada perbalahan pertembungan dan pergeseran dalam parti. Namun perkara ini tidak perlu bawa dalam ucapan atau mesyuarat UMNO bahagian untuk dibuat ketetapan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Pontian di sini pada Sabtu.
Hadir sama Setiausaha Agung UMNO yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Hasni yang juga Menteri Besar Johor berkata, kematangan sewajarnya ditunjukkan UMNO yang berusia lebih 70 tahun dalam isu sokongan kepada Perdana Menteri ketika ini.