SHAH ALAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menjelaskan tindakan mendapatkan maklumat akaun bank pembayar cukai hanya akan dilakukan bagi kes yang melibatkan perintah garnisi atas kebenaran mahkamah.
HASiL dalam satu kenyataan berkata, ia berdasarkan peruntukan baharu S106A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 yang diluluskan dalam Rang Undang-Undang Kewangan 2021 pada 15 Disember lalu.
Bagaimanapun menurut kenyataan itu, tiada kuasa mutlak kepada HASiL untuk mengakses akaun bank pembayar cukai dengan sewenang-wenang.
"la perlu melalui proses penghakiman yang ditetapkan dan hanya terhad kepada kes-kes yang telah pun melalui prosiding sivil terlebih dahulu," kata HASiL dalam kenyataan pada Sabtu.
Kenyataan tersebut merujuk kepada beberapa laporan akhbar berkaitan kuasa HASiL mengakses akaun bank pembayar cukai tanpa terlebih dahulu mendapatkan kebenaran pemilik akaun terbabit.
HASiL turut memaklumkan, prosiding garnisi merupakan proses untuk menguatkuasakan penghakiman wang dengan menyita atau menahan hutang yang perlu dibayar kepada mana-mana pihak.
"Dalam kes ini HASiL, susulan adanya tunggakan cukai yang belum dijelaskan oleh pembayar cukai.
"Dengan pengenalan peruntukan baharu ini, ia akan membantu HASiL mentadbir sistem cukai langsung negara dengan lebih efektif dengan meminimumkan ketirisan cukai disebabkan kegagalan pembayar cukai melangsaikan hutang cukai.
"Selain meningkatkan kadar pematuhan cukai sukarela dalam kalangan pembayar cukai," jelasnya.
Justeru ujar HASiL, orang ramai tidak perlu bimbang dengan pindaan baharu ACP 1967 kerana ia hanya memberi kuasa mendapatkan maklumat akaun bank pembayar cukai setelah tindakan garnisi dibenarkan oleh mahkamah.
Tambahnya, bagi pembayar cukai yang sedia menjalankan tanggungjawab percukaian dengan teratur, pengenalan akta tersebut tidak sepatutnya menimbulkan sebarang keresahan atau kerisauan kerana peruntukan itu tidak terpakai kepada mereka.
"HASiL sekali lagi menekankan bahawa maklumat akaun bank pembayar cukai sedia ada yang tidak melibatkan tindakan garnisi tidak dapat diakses oleh HASiL melalui peruntukan baharu ini," kata kenyataan itu.