SHAH ALAM - Golongan ayah perlu memainkan peranan dan tanggungjawab terlibat sama dengan anak-anak di rumah, bukan hanya aktif di tempat kerja mahupun luar rumah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ayah perlu mengelak daripada menjadi ‘a less involved father at home’ atau kurang terlibat dengan anak di rumah.
"Janganlah menjadi seorang ayah yang mampu memberikan wang tanpa memberikan pendidikan sebaiknya kepada anak-anak.
"Ini kerana ramai di luar sana berkeinginan mengambil peranan dan tanggungjawab berkenaan," katanya ketika merasmikan World #QuranConvention secara hibrid pada Sabtu.
Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama rakan sinerginya, Islamic Tourism Center, Sinar Harian, TV AlHijrah dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga akan berlangsung selama dua hari bermula Sabtu menerusi platform Zoom dan Facebook Quran Hour dan Sinar Harian.
Perdana Menteri berkata, penganjuran World #QuranConvention 2.0 bertajuk ‘Fatherless Homes’ membawakan tema penting iaitu ayah sebagai ketua keluarga dan pemimpin masuk syurga sekeluarga.
"Terdapat 14 kali dialog antara seorang ayah dan anak disebut dalam al-Quran, dua kali antara seorang ibu dan anak, manakala terdapat sekali disebut sama ada ayah atau ibu.
"Ini membuktikan betapa besarnya peranan ayah dalam membentuk institusi keluarga yang berteraskan al-Quran. Ia menjadi satu permulaan untuk mengukuhkan hubungan ahli keluarga menuju kebaikan.
"Selain itu, pilihan suruh al-Mulk pula bakal membentuk kerangka fikir golongan bakal ayah dan ayah yang mana terdapat tiga motivasi iaitu keberkatan dalam amalan serta pekerjaan; ingat mati dengan meningkatkan kualiti dan produktiviti serta doa; dan Ahsanu ‘Amala untuk menjadi mukmin yang lebih mantap,” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, al-Quran dan hadis juga perlu dijadikan panduan utama seorang ayah mendidik nilai-nilai mulia dalam sesebuah keluarga.Ini kerana, menurutnya, nilai murni yang dididik itu akan melahirkan sebuah keluarga sejahtera, yang mana membesarkan persamaan, menerima setiap perbezaan dengan hati terbuka selain saling menghormati walaupun berbeza agama dan latar belakang.
"Inilah konsep yang saya perkenalkan dalam ucapan sulung saya pada 22 Ogos lalu sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan, dengan memperkenalkan konsep dan falsafah Keluarga Malaysia berteraskan tiga nilai utama iaitu inklusiviti, kebersamaan dan kesyukuran,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut berpendapat konvensyen yang diadakan selama dua hari itu bakal menjadi momentum perubahan dalam melahirkan seorang ayah yang mampu memainkan peranan untuk membina keluarga yang baik sehingga terbina negara sejahtera.
Beliau berkata, hasrat untuk melahirkan generasi hebat yang akan mencorakkan dunia di dalam negara dan di persada antarabangsa bermula daripada peranan seorang ayah sebagai pemimpin keluarga
"Justeru, saya menyeru agar semua anggota masyarakat, terutama agensi berkaitan kekeluargaan, para ayah dan bakal ayah di dalam semua organisasi serta dari pelbagai institusi, mengambil manfaat daripada konvensyen ini.
"Ini penting agar kita mendapat panduan yang benar dan jelas daripada isi al-Quran sehingga lahir ‘Quranic Based Family’ sebagai model keluarga Muslim,” ujarnya.