SHAH ALAM - Puluhan pemandu terpaksa bermalam di dalam kenderaan masing-masing malam Sabtu apabila laluan untuk pulang ke rumah mereka di Setia Alam di sini serta Bukit Raja dan Meru di Klang ditenggelami air berikutan hujan lebat di Lembah Klang sejak pagi semalam.
Jalan-jalan utama di Setia Alam yang menghubungkan Meru dan Bandar Bukit Raja di Klang dinaiki air antara dua hingga tiga meter sejak lewat malam tadi menyebabkan ramai pengguna jalan raya yang pulang kerja lewat malam terperangkap dan tidak dapat pulang ke rumah hingga tengah hari Sabtu.
Setakat 1 tengah hari, hujan masih lebat turun di sekitar Lembah Klang.
Tinjauan Bernama di jalan utama menghubungkan Setia Alam dengan Meru mendapati puluhan kenderaan masih berhenti di tepi jalan kerana laluan yang dinaiki air itu hanya boleh dilalui kenderaan berat seperti bas dan lori.
Mohd Faizol Adzhar Mohd Mohtar, 34, berkata, beliau terpaksa tidur di dalam kereta yang diletakkan di kawasan parkir kira-kira dua kilometer dari apartmentnya di Bandar Bukit Raja sebelum berjalan kaki pulang pagi ini.
"Saya balik kerja dari Kuala Lumpur pukul 9.30 malam tadi (Jumaat) dan saya berhenti makan kerana jalan sesak, tiba di Setia Alam kira-kira pukul 12 tengah malam saya dapati semua jalan menuju ke rumah saya dinaiki air.
"Keadaan waktu itu hujan lebat dan saya ambil keputusan untuk tidur di dalam kereta kerana tidak mahu ambil risiko meredah air banjir yang tinggi," katanya kepada Bernama pada Sabtu.
Kira-kira 10 pagi, Mohd Faizol Adzhar mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke rumahnya kerana air tidak menunjukkan tanda untuk surut berikutan hujan lebat masih turun.
Mohamad Imran Hakim Mohd Nazri, 19, pula terpaksa tidur di tempat kerja selepas kawasan sekeliling dinaiki air.
"Saya habis kerja di restoran kira-kira 12.30 tengah malam dan ketika itu air sudah naik setinggi dua meter di luar restoran,” katanya.
Beliau yang tinggal di Sungai Kapar Indah, kira-kira 10 kilometer dari Setia Alam sejak kecil berkata, kejadian banjir kali ini adalah paling buruk pernah dialami sejak tinggal di daerah itu.
"Sekarang saya masih lagi di tempat kerja, tidak boleh pulang ke rumah, harap hujan akan berhenti dan air segera surut," katanya.- Bernama