Sidang Khas DUN Johor bagi pindaan had umur mengundi

Iklan
Hasni Mohammad

PONTIAN - Sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan diadakan pada 6 Januari depan berhubung pindaan had kelayakan umur mengundi dan calon bertanding kerusi DUN dari 21 tahun kepada 18 tahun.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, menerusi sidang khas itu Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 akan dipinda.

Iklan
Iklan

"Pindaan ke atas perlembagaan negeri tertua negara itu bagi membolehkan kelayakan mengundi dan calon DUN diturunkan dari usia 21 tahun ke 18 tahun.

"Johor perlu lakukan pindaan ini bagi menyeragamkan undang-undang tubuh kerajaan negeri dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian, di sini, hari ini.

Iklan

Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata, tindakan meminda had umur mengundi dan menjadi calon itu dibuat kerana kerajaan negeri tidak mahu memberi isyarat salah kepada orang muda.

"Johor tidak mahu orang muda anggap kerajaan negeri menyekat mereka jika pindaan itu tidak dibuat sekali gus mengelakkan implikasi undang-undang termasuk pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan di masa hadapan," katanya.

Iklan

Pada 28 November lalu, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor, dilaporkan berkata, satu sidang khas DUN Johor akan diadakan dalam masa terdekat.

Ia bagi meminda Fasal 16 Bahagian 2, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor yang ketika ini hanya membenarkan warganegara berusia 21 tahun bermaustatin di negeri ini, layak menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sebelum itu pada 24 November, lalu semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dilaporkan bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun untuk mengundi dan menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.