SPAOH - Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyifatkan proses pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini agak mencabar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Beliau berkata, pematuhan SOP di kawasan luar bandar lebih ketat berbanding di kawasan bandar selain ketiadaan dan sambungan jaringan internet yang sangat lemah telah memburukkan lagi keadaan proses mengundi di luar bandar.
"Kalau dahulu, tidak ada keperluan untuk menjaga penjarakkan fizikal, memakai topeng muka dan perlu mendaftarkan kehadiran pada aplikasi MySejahtera serta imbasan suhu badan," katanya kepada pemberita selepas membuang undi di Rumah Panjang (RH) Mendit Unsu di sini pada Sabtu.
Berbeza dengan masa kini katanya, rakyat di Sarawak perlu membiasakan diri dengan normal baharu sebagai usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan rakyat.
Dalam pada itu katanya, setiap calon yang bertanding juga terpaksa mengadakan ceramah di tempat yang ditetapkan dengan kapasiti orang ramai dan masa yang agak terhad.
Malah katanya, calon juga tidak dibenarkan berjabat tangan dengan pengundi yang boleh menyebabkan calon dianggap sombong atau tidak mesra rakyat.
Selain itu, mengenai penggunaan platform media sosial untuk berkempen, Uggah berkata, beliau dan jentera partinya mendapati sukar untuk mereka mengadakan kempen secara atas talian disebabkan liputan yang agak terhad.
"Hanya di beberapa tempat tertentu yang mempunyai jaringan internet yang baik di kawasan luar bandar di sini," katanya.
Sementara itu, Uggah yang juga Pengarah Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengharapkan sekurang-kurangnya 70 peratus peratusan keluar mengundi di seluruh Sarawak dapat direkodkan pada PRN ini.
Selesai membuang undi, beliau kemudiannya disertai Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat melawat ke tempat pusat mengundi pedalaman di Bukit Saban untuk menyemak proses pengundian di situ.
Untuk rekod, calon GPS Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari itu merupakan antara pengundi terawal membuang undi di Rumah Panjang (RH) Mendit Unsu di Penom di Spaoh sekitar jam 7.30 pagi tadi bersama-sama ahli keluarganya.