Jualan Keluarga Malaysia bukan mainan politik

Iklan
Mustapa (dua dari kiri) meninjau Jualan Keluarga Malaysia Parlimen Jeli di Tapak Pasar Tani Ayer Lanas, Jeli pada Sabtu.

JELI - Jualan Keluarga Malaysia bukan mainan politik sebaliknya kerajaan serius untuk membantu rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau menegaskan, setiap masalah rakyat dibincangkan di setiap mesyuarat Jemaah Menteri.

Iklan
Iklan

"Ini bukan mainan politik, masalah rakyat adalah masalah negara sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan supaya kita melaksanakan program-program yang memberi faedah kepada rakyat seperti program jualan ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia Parlimen Jeli di Tapak Pasar Tani Ayer Lanas di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak yang menganggap Jualan Keluarga Malaysia sebagai mainan politik.

Iklan

Mustapa berkata, kerajaan telah menyediakan inisiatif terbaik dengan memperkenalkan Jualan Keluarga Malaysia bagi membantu rakyat memperoleh barangan asas yang mengalami kenaikan.

Selain itu, katanya, kerajaan juga mengenal pasti punca kenaikan kos sara hidup melibatkan beberapa faktor yang perlu diberikan tumpuan oleh pelbagai pihak.

Iklan

"Kerajaan perlu menyelesaikan masalah tersebut. Seluruh jentera kerajaan telah dikerahkan untuk mencari jalan menangani masalah ini," jelas beliau.

Beliau berkata, pihak berkaitan perlu mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga barangan asas tanpa sebab kukuh sehingga berlaku jurang harga yang tinggi.

Jelasnya, kerajaan mengakui wujud perbezaan margin harga antara sayur yang dijual di pasar berbanding jualan secara terus di kampung berdasarkan beberapa faktor antaranya disebabkan oleh pengangkutan atau logistik.

"Ini antara perkara yang kita kesan, margin besar memang ada dan dikaitkan dengan kos logistik contohnya sayur dari kampung nak ke pasar memerlukan kenderaan. Kenderaan pun dikenakan tambang dan lain-lain kos lagi.

"Memang perlu ada margin tetapi kalau berlebihan, tindakan perlu diambil," katanya.