PORT DICKSON - Kejadian banjir dan peningkatan paras air di Sungai Linggi menyebabkan seekor buaya naik ke jalan raya di jambatan sungai berkenaan pada Sabtu.
Rakaman video kejadian berdurasi 18 saat itu tular di media sosial Facebook.
Seorang penduduk, Zazali Abd Latif, 51, berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu pada petang Jumaat daripada seorang rakan yang berkongsi video tular.
"Apabila saya tengok video itu, saya tahu buaya itu di Jambatan Sungai Linggi. Orang kampung mendakwa buaya itu tak mahu turun ke sungai semula apabila dihalau.
"Tapi tak tahulah, kesudahannya macam mana. Penemuan buaya di Sungai Linggi ini perkara biasa dan haiwan itu naik ke jalan raya mungkin disebabkan paras air Sungai Linggi naik," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Zazali berkata, penemuan buaya di Sungai Linggi bukanlah perkara baharu, bagaimanapun haiwan berkenaan belum pernah mengganggu penduduk.
Sementara itu, sebuah lagi video berdurasi 15 saat dipercayai berlaku di lokasi sama menunjukkan beberapa lelaki melihat kelibat buaya tersebut dan berdiri pada jarak dekat.
Linggi merupakan antara kawasan terjejas teruk dalam kejadian banjir di daerah ini yang bermula sejak awal pagi Sabtu susulan hujan lebat tidak berhenti sejak petang Jumaat.
Sungai Linggi sememangnya dikenali sebagai habitat buaya tembaga di Negeri Sembilan.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya masih belum dapat mengesahkan lokasi penemuan buaya yang ditularkan itu.
Beliau berkata, ia berikutan ketika ini laluan tersebut telah ditutup akibat banjir yang masih belum reda.
ARTIKEL BERKAITAN: Lima daerah di Negeri Sembilan dilanda banjir kilat