SHAH ALAM - Seorang bapa merupakan guru pertama dalam sesebuah keluarga yang bertanggungjawab memimpin dan membawa keluarganya kepada ajaran Islam dan menjadikan al-Quran sebagai peneman hidup.
Rektor Universiti Fatoni, Thailand, Prof Madya Dr Ismail Lutfi Japakiya berkata, seorang bapa perlu membawa isteri dan anak-anaknya kepada ajaran Islam dan al-Quran kerana kedatangan Islam memberi penerangan mengenai jalan-jalan yang lurus kepada syurga ALLAH SWT.
"Al-Quran adalah sebagai pembela, penolong oleh ALLAH SWT, peguam yang diberikan kepercayaan.
"Kepada sesiapa yang menjadikan al-Quran sebagai peneman hidupnya maka al-Quran akan membawanya kepada syurga dan sesiapa yang meninggalkan al-Quran di belakang maka al-Quran akan menolaknya ke neraka.
"Itulah hakikat al-Quran bukan sahaja mengajar ilmu tetapi memimpin ke syurga mahupun neraka,” katanya dalam program World #QuranConvention bertajuk 'Fatherless Homes' pada Sabtu.
Ismail Lutfi turut berkata, tanggungjawab seorang bapa adalah untuk mengislamkan anak-anaknya sejak dari kecil sehingga dia meninggal dunia.
Tambahnya, tanggungjawab dan kewajiban bapa bermula daripada anaknya dilahirkan dengan mengazankan di telinganya.
"Sebagai seorang ayah janganlah dibiarkan anak-anak hanya memahami kehidupan Islam tetapi tidak menjadi umat Islam yang sebenar-benarnya.
"Kerana itulah jadikan al-Quran sebagai teman hidup, peluklah al-Quran kerana dia akan menemani setiap langkah dan membimbing kita ke jalan yang diredai ALLAH.
"ALLAH bagi rahmah di dunia ini hanya satu peratus sahaja dan selebihnya adalah di akhirat kelak,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ismail Lutfi berkata, bapa berperanan memelihara diri, isteri dan anak-anaknya dari api neraka dengan al-Quran dan al-Sunnah.
Jelasnya, bapa perlu mula mendidik isteri dan anak-anaknya dengan menjadikan rumahnya sebagai masjid dan ajar mereka menunaikan solat serta membaca al-Quran.
"Jangan jadikan rumahmu bagaikan kubur yang tidak menjaga solat dan membaca al-Quran,” tambahnya.