PORT DICKSON - Pekan Linggi di sini lumpuh selepas ditengelami banjir susulan hujan berterusan sejak Jumaat malam.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, terdapat banyak kenderaan yang tidak dapat diselamatkan selain ada penduduk yang terkandas di rumah kedai pekan berkenaan menunggu bantuan tiba.
Seorang penduduk, Kadir Ahmad Nor, 63, yang tinggal di Rumah Rakyat Pengkalan Durian berkata, kejadian banjir kali ini adalah paling terburuk selepas kali pertama berlaku pada tahun 1971.
"Banjir memang dah biasa berlaku. Seingat saya tiga bulan lepas pun ada banjir kilat, tapi tidaklah seteruk ini.
"Kali ini air naik sangat cepat ditambah pula dengan keadaan air laut tengah pasang. Keadaan pekan Linggi ini memang lumpuh sepenuhnya," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut Kadir, dia dan anaknya membantu pihak bomba memindahkan penduduk yang terkandas dengan menggunakan kemudahan bot yang ada.
Sementara itu Mohd Shahril Nawawi, 39, pula berkata, buat pertama kali rumahnya ditenggelami banjir sehingga hampir mencecah bumbung.
"Kali ini memang betul-betul teruk. Yang sedihnya mak saya tak dapat pergi rawatan hemodialisis hari ini, kerana rumah kami banjir teruk.
"Bukan saja perabot rumah rosak, tapi ubat-ubatan mak pun tak dapat diselamatkan dan dua biji kereta saya turut tenggelam," katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza turut mengakui banjir kali ini paling terburuk pernah berlaku.
Katanya, dua bulan lalu ada berlaku banjir tetapi tidaklah sehingga mengakibatkan ada mangsa terpaksa dipindahkan.
"Sungai Linggi ini dekat dengan laut dan bila air laut pasang besar ia akan mengakibatkan air cepat naik. Lagi pun sekarang paras air laut makin tinggi.
"Kita dah minta kerja-kerja mendalamkan sungai dilakukan dan perlu ada kawasan tebatan banjir bagi mengelakkan kejadian banjir besar macam ini," katanya.