Pemilihan UMNO ditentukan lima pemimpin utama parti

Iklan
Mohamad

SEREMBAN- Satu perbincangan akan dibuat terlebih dahulu berhubung permintaan sayap parti UMNO yang mahukan pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum sebarang keputusan dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, segala keputusan berkaitan perkara itu akan diputuskan selepas perbincangan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Biarlah kami berlima berbincang, kalau nak selepas PRU15... Apa yang kita buat mesti menjurus kepada banyak memberi kebaikan pada parti dan bukannya kepada individu tertentu atau kelompok-kelompok tertentu.

"Kita akan lihat baik buruknya terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya kepada pemberita selepas selesai Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2021 di Bangunan UMNO Seremban, di sini, pada Sabtu.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan Puteri UMNO mahu pemilihan parti diadakan selepas PRU15 bagi memastikan seluruh jentera dan kepemimpinan parti memberi fokus 100 peratus kepada agenda membela rakyat dan menjadi suara rakyat menjelang PRU15.

Selain itu, majoriti perwakilan Pemuda UMNO di seluruh negara juga senada dengan Puteri UMNO dan mengesa agar pemilihan parti diadakan selepas PRU15.

Iklan

Sementara itu, mengulas mengenai usul menerusi persidangan berkenaan, Mohamad yang juga Pengerusi UMNO Bahagian Rembau berkata, usul lain yang dikemukakan termasuk UMNO perlu berpegang kepada resolusi pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang memutuskan tidak bekerjasama dengan parti lain PRU15 akan datang.

"UMNO (BN) mengambil jalan tidak mahu mengikat dengan mana-mana parti ketika PRU15 tetapi apa juga perkara membabitkan kepentingan selepas PRU untuk menubuhkan kerajaan atau mengukuhkan kestabilan politik demi kepentingan negara itu akan dibincangkan selepas PRU," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sama ada soal kedudukan Perdana Menteri (PM) dibincangkan dalam mesyuarat perwakilan berkenaan, Mohamad berkata, tiada sebarang usul mengenai kedudukan PM dibangkitkan selain meletakkan perkara itu kepada kepimpinan tertinggi parti.

"Tak ada apa-apa perbincangan, tidak timbul soal sokong atau tidak sokong PM, kita ikut keputusan Majlis Tertinggi tempoh hari, kita beri mandat kepada lima orang kepimpinan tertinggi parti, namun terpulang kepada Bahagian masing-masing (usul kedudukan PM), kita tidak berikan apa-apa guideline,” katanya.