PELABUHAN KLANG - Pergerakan kontena dan kargo ke atau dari pelabuhan dijangka terjejas teruk dan penghantaran akan ditangguhkan untuk beberapa hari akan datang berikutan hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Lembah Klang.
Lembaga Pelabuhan Klang menerusi satu kenyataan bagaimanapun memaklumkan penghantaran barangan keperluan terutamanya barangan makanan, bekalan perubatan dan barangan sejuk beku menjadi keutamaan buat masa ini.
Menurutnya, kebanyakan kawasan di sini termasuk bahagian utama Lembah Klang ditenggelami air menyebabkan banyak kawasan perumahan dan perindustrian tidak dapat diakses serta mengganggu kehidupan seharian dan aktiviti ekonomi.
Tambahnya, insiden tersebut juga menjejaskan operasi pelabuhan di Pelabuhan Terminal Klang di Pelabuhan Utara, Barat dan Selatan selain memberi kesan buruk operasi di gudang dan depoh kontena kosong di kawasan sekitar yang diburukkan dengan kerosakan pada jalan masuk.
"Oleh itu, pergerakan kontena dan kargo ke atau dari pelabuhan dijangka terjejas teruk dan penghantaran akan ditangguhkan untuk beberapa hari akan datang.
"Kapal yang ingin berlabuh juga akan ditangguhkan kerana cuaca buruk yang menyebabkan banyak kapal tertunggak di pelabuhan luar dan lebih banyak lagi dijangka tiba pada masa mendatang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Lembaga Pelabuhan Klang turut memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama rapat dengan pemain industri pelabuhan dan logistik untuk mengoptimumkan sumber yang ada dan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kesinambungan operasi pelabuhan dan logistik.
"Oleh itu, kami merayu orang ramai supaya bersabar semasa mengharungi tempoh sukar ini dan kita yakin agar bersama-sama kita mengharungi cabaran ini.
"Dalam masa mencabar ini, kami menggesa komuniti pelabuhan dan logistik untuk menghulurkan bantuan kepada tempatan komuniti yang terjejas akibat banjir dengan menghubungi pemimpin komuniti untuk berbuat demikian," katanya.