Klang, Sepang paling teruk terjejas banjir: Polis

Iklan
Keadaan banjir di kawasan GM Klang pada Jumaat akibat hujan lebat. - Foto Facebook

SHAH ALAM - Klang dan Sepang merupakan dua daerah paling teruk terjejas banjir di negeri ini susulan hujan lebat sejak Jumaat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, selain itu, kawasan Shah Alam, Banting dan Kuala Langat pula mengalami peningkatan paras air hingga melibatkan pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Iklan
Iklan

"Kepada orang ramai, kita (polis) mengharapkan mereka lebih berhati-hati dan mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa supaya tidak terperangkap dalam banjir," katanya pada sidang akhbar secara maya melalui Facebook Polis Klang Selatan pada Sabtu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai terutama kanak-kanak supaya menjauhi kawasan banjir bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Iklan

Menurut Arjunaidi, tinjauan pihaknya di sekitar Pelabuhan Klang mendapati keadaan air di kawasan tersebut masih terkawal namun paras air semakin meningkat di beberapa tempat terutama di sungai-sungai utama di Selangor.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, dua pengunjung hotel di Shah Alam hampir lemas ketika sedang mengalihkan kenderaan di ruang parkir bawah tanah bangunan tersebut kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Iklan

"Anggota bomba bertindak mengeluarkan kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu sebelum paras air naik," katanya.

Norazam berkata, pihaknya turut mengalami masalah apabila jentera bomba terkandas akibat banjir ketika menuju ke lokasi mangsa namun kenderaan itu dapat bergerak tidak lama kemudian.

Menurut laman sesawang Info Bencana Jabatan Kemajuan Masyarakat, 41 PPS dibuka di Selangor setakat jam 7 malam tadi bagi menempatkan seramai 3,361 mangsa. - Bernama