PERSATUAN Kanu Malaysia (Masca) memasang impian untuk menamatkan kemarau pingat selama kira-kira lapan tahun dalam Sukan SEA dengan sasaran membawa pulang sekurang-kurangnya pingat perak pada edisi Sukan SEA di Hanoi, Mei tahun depan.
Bagi mencapai matlamat tersebut, Presiden Masca, Datuk Michael Wong Meng San berkata, persatuan itu akan melantik jurulatih asing selewat-lewatnya pada awal tahun depan untuk mendedahkan para atlet dengan cabaran dan teknik untuk bersaing bagi meraih kedudukan podium dalam acara kayak.
"Sebelum ini kami telah memenangi gangsa (dalam sukan berkanu), jadi sekarang kita sasarkan pingat perak. Persiapan kami akan berterusan kerana selepas Sukan SEA, kami akan fokus untuk Sukan Asia Hangzhou 2022 (dari 10-25 Sept) di China.
"Untuk edisi Hanoi, kami yakin dapat naik podium, tetapi untuk Hangzhou kami belum pasti, ia agak sukar...kami menjangkakan kejutan daripada pasukan wanita, jadi kami lebih fokus kepada mereka, tetapi untuk pasukan lelaki, kami tahu kedudukan kami dan untuk berada dalam kelompok tiga teratas agak sukar,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker merasmikan kem latihan berpusat pasukan perahu naga dan kanu negara serta menyempurnakan upacara ‘eye dotting’ untuk dua bot naga baharu di Kelab Tasik Putrajaya pada Sabtu.
Kali terakhir skuad negara memenangi pingat dalam Sukan SEA ialah pada edisi Myanmar 2013, apabila Siti Rajiah Ali menggondol gangsa acara K-1 200m berkanu wanita.
Michael berkata daripada kira-kira 100 atlet menyertai kem tiga hari itu, hanya 14 atlet lelaki dan 14 atlet wanita akan disenarai pendek untuk persiapan Sukan SEA dan Asia, sambil menambah kos ditanggung sepenuhnya oleh masca dengan sokongan sektor korporat.
"Tujuan utama kem ini adalah untuk menguji tahap atlet selepas hampir dua tahun tanpa sebarang kejohanan kompetitif. Hari pertama diisi sepenuhnya dengan aktiviti kecergasan dan latihan fizikal, hari ini dan esok kami akan melakukan aktiviti air,” tambahnya. - Bernama