PUTRAJAYA - Hujan lebat berterusan lebih 24 jam sejak Jumaat mengakibatkan kejadian tanah runtuh yang menjejaskan dua rumah di Kampung Sungai Merab Hulu, dekat sini pada Sabtu, menyebabkan penghuni terlibat dinasihat mengosongkan rumah mereka.
Tinjauan Bernama di lokasi mendapati kawasan itu menempatkan empat rumah di tanah persendirian dan kejadian itu menjejaskan bahagian belakang dua rumah dengan anggaran kedalaman runtuhan setinggi enam meter.
Iklan
Iklan
Seorang penghuni yang hanya ingin dikenali sebagai Mira berkata, kejadian kira-kira jam 11.30 pagi tadi itu menghakis kawasan belakang rumah yang menempatkan bilik tidur rumahnya.
"Tanah runtuh sedikit demi sedikit dan hujan masih turun ketika ini, menyebabkan saya risau keselamatan kami. Kami akan menumpang di rumah saudara buat sementara,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah ketika dihubungi berkata, sebagai penyelesaian sementara, Majlis Perbandaran Sepang dan JKR Sepang akan memasang kanvas di kawasan tanah runtuh pada Ahad.
"Mangsa dinasihat pindah buat masa sementara,” katanya. - Bernama