KUCHING - Kedua-dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berjaya mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing iaitu Bukit Saban dan Bukit Sari.
Dalam keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 malam ini, yang menyaksikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar, kedua-duanya bertanding sebagai calon gabungan politik itu dan berdepan saingan tiga penjuru telah menewaskan pencabar masing-masing dengan mudah.
Uggah menewaskan dua pencabarnya dengan majoriti 3,988 undi iaitu calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Andria Gelayan yang mendapat 1,385 undi dan Mikhail Mathew Abdullah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hanya meraih 136 undi sekali gus hilang deposit.
Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu pertama kali bertanding di DUN Bukit Saban pada Pilihan Raya Negeri ke-11 dan memenanginya dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon PKR Noel Changgai Bucking dengan majoriti 4,599 undi.
Di LAWAS, Awang Tengah yang juga Timbalan Presiden PBB menewaskan dua pencabarnya dengan majoriti besar 5,636 undi sekali gus menyaksikan beliau kekal sebagai wakil rakyat di kawasan itu untuk penggal kelapan.
Pencabarnya, Alias Mail daripada PSB hanya mendapat 749 undi manakala calon Parti Bumi Kenyalang Riyah Basarah memperoleh 165 undi.
Awang Tengah menjadi ADUN Lawas sejak 1997 hingga 2001 dan Bukit Sari (2006-2016) termasuk menang tanpa bertanding pada 1996 dan 2016.- Bernama