4,819 anggota JBPM diatur gerak bantu mangsa banjir

Iklan
Setakat jam 1 pagi Ahad seramai 12,271 mangsa banjir direkodkan di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor dengan 204 PPS dibuka.

SHAH ALAM - Seramai 4,819 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk pasukan bomba bantuan telah diatur gerak untuk membantu kerja-kerja menyelamat dan membawa mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri yang dilanda banjir.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sehingga jam 12 tengah malam Sabtu, JBPM telah menggerakkan 125 kenderaan angkut dan 214 bot ke kawasan terlibat.

Iklan
Iklan

"Keadaan banjir di enam negeri khususnya Selangor agak teruk. Sejak dua malam lalu lagi para anggota dan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat telah diatur gerak dan sentiasa bersedia untuk membantu semua mangsa yang terlibat.

"Untuk operasi di negeri Selangor, seramai 1,577 anggota telah digerakkan. Bantuan keanggotaan juga telah dihantar dari Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dan WP Putrajaya.

Iklan

"Saya juga telah berhubung dengan Menteri Besar Selangor sebentar tadi bagi tujuan penyelarasan dan bersedia menambah kekuatan anggota JBPM sekiranya keadaan bertambah buruk,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.

Berdasarkan laporan portal info bencana JKM, setakat jam 1 pagi Ahad seramai 12,271 mangsa banjir direkodkan di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor dengan 204 PPS dibuka.

Iklan

Sehubungan itu Reezal Merican mohon agar semua yang terlibat di dalam kejadian banjir agar segera menghubungi talian kecemasan yang ada dan patuhi arahan pihak berkuasa pada setiap masa dengan mengutamakan keselamatan nyawa diri serta keluarga.

"Insya-ALLAH, saya dan pasukan akan terus memantau keadaan serta siap sedia menggerakkan lebih banyak aset untuk membantu,” ujarnya.