KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak aset dan 23,090 anggotanya bagi membantu operasi banjir di kawasan terjejas termasuk 3,454 anggota digerakkan ke Selangor, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
"Kekuatan tersebut adalah persediaan bagi membantu kekuatan sedia ada di semua kontinjen polis seluruh negara yang memerlukan bantuan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, PDRM turut menyediakan 369 unit bot dan enjin, 36 unit jet ski, 437 buah lori dan 1,408 unit kenderaan pacuan empat roda bagi melancarkan operasi membantu dan memindahkan mangsa banjir.
Lembah Klang dilanda banjir menyebabkan lebih 3,600 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara setakat malam ini serta sejumlah pengguna jalan raya terkandas akibat laluan dan lebuh raya ditutup setelah dinaiki air.
Selain itu, insiden tanah runtuh dilaporkan berlaku di Kampung Sungai Merab Hulu, susulan hujan lebat berterusan lebih 24 jam sejak Jumaat.
Selain Lembah Klang, banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan dan Terengganu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan semua kementerian berkaitan menggerakkan aset ke kawasan terjejas banjir bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara dengan segera. - Bernama