Bas Hoho tarikan baharu di Ipoh

Iklan
Ahmad Faizal pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Tourism Perak dan Perak Transit Berhad, di pejabatnya, hari ini.

IPOH – Rakyat negeri ini khususnya warga bandaraya Ipoh bakal menikmati satu lagi tarikan pelancongan menarik apabila perkhidmatan bas Hop On Hop Off (Hoho) mula beroperasi pada 23 Mac, ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bagi tiga bulan pertama sebanyak tiga bas akan diperkenalkan melibatkan sebuah bas separuh bumbung dan dua bas berbumbung.

Iklan
Iklan

"Bas-bas ini akan mula beroperasi dari 8.30 pagi hingga 9 malam dan akan melibatkan sebanyak lima pusingan yang dianggarkan memakan masa selama setengah jam. Secara keseluruhannya ia akan melibatkan 15 pusingan.

"Laluan bas pula akan bermula dari Terminal Amanjaya, Taman Tema Animasi Movie Animation Park Studios (MAPS), Mahkamah Tinggi Ipoh, Little India, Ipoh Old Town, Telekom Malaysia (TM), Jalan Brewster Road, Hotel Weil Hotel/Ipoh Parade, Gerbang Malam, Octagon, The Majestic dan Masjid Panglima,” katanya.

Iklan

Ahmad Faizal berkata demikian pada sidang media sempena majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Tourism Perak yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Zuraida Md Talib dan CEO Perak Transit Berhad, Datuk Cheong Peak Sooi, dengan Perak Transit Berhad di pejabatnya, hari ini.

Untuk rekod harga tambang tiket bas Hoho sempena sesi promosi yang berlanjutan sehingga penghujung April dan sah sehingga 31 Disember adalah RM12 bagi dewasa dan RM10 (kanak-kanak) manakala RM35 bagi pelancong dewasa dan RM20 (kanak-kanak).

Iklan

Selepas promosi tamat, tambang bagi pemegang MyKad adalah RM20 bagi dewasa, RM10 (kanak-kanak) manakala bagi bukan pemegang MyKad adalah RM55 bagi dewasa serta kekal RM20 (kanak-kanak).

Tike-tiket akan mula dijual pada MATTA Fair di ICC Ipoh dan Kuala Lumpur atau melayari laman sesawang Tourism Perak di www.tourismperakmalaysia.com atau menghubungi pejabat Tourism Perak di talian 05-2499966 untuk maklumat lanjut.

Sementara itu Ahmad Faizal berkata, bas Hoho berkenaan akan turut menyediakan seorang pemandu pelancong terlatih bagi memberikan maklumat khususnya terhadap produk-produk pelancongan yang ada di sepanjang laluan bas berkenaan, terutamanya di sekitar bandaraya Ipoh.

"Dengan adanya pemandu pelancong ini, ia diharap dapat mendekatkan lagi pelancong dengan produk-produk pelancongan sedia termasuk dengan pengusaha-pengusaha pelancongan di sekitar bandaraya,” katanya.