HULU LANGAT - Tiga kematian direkodkan di pusat pemindahan sementara (PPS) manakala ratusan kediaman dan kenderaan musnah selepas daerah ini dilanda banjir pada Ahad.
Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr Aini Ahmad berkata, jumlah kematian di PPS itu berdasarkan laporan PPS Hulu Langat yang diterima setakat jam 1.15 petang pada Ahad.
"Sehingga jam 1.15 petang, 16 PPS dibuka, 226 keluarga dipindahkan dengan jumlah keseluruhan 791 mangsa dan tiga kematian," katanya kepada Sinar Harian menerusi aplikasi WhatsApp pada Ahad.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai punca kematian membabitkan tiga mangsa dan lokasi mangsa terbabit dipindahkan sebelum kejadian berlaku.
Dalam pada itu, angka kerosakan rumah dan kenderaan dilaporkan mencecah sehingga ratusan buah di daerah itu berdasarkan perkongsian di laman sosial setakat Ahad.
Pengguna laman Facebook dikenali dengan nama Najib Khadzi memaklumkan, rumah ibu saudara kakak iparnya di Hulu Langat hilang dari pandangan apabila dihanyutkan arus deras.
Norhashim Kamisan pula memuat naik video selama 22 saat memaparkan kerosakan puluhan kenderaan dan rumah di sebuah kampung di Hulu Langat akibat bencana banjir besar itu.
Sementara itu, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor memaklumkan, seramai 14, 716 mangsa diselamatkan dan ditempatkan di 103 PPS di daerah Klang, Petaling, Kuala Langat, Seoang, Kuala Selangor dan Huku Langat setakat jam 12 tengah hari pada Ahad.