KOTA BHARU - Sebuah ambulans yang membawa pesakit kanak-kanak lelaki dalam perjalanan ke Hospital Universiti Sains (HUSM) Kubang Kerian terbakar di hadapan Masjid Melor di sini, hari ini.
Ambulans dari Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh yang turut dinaiki seorang pemandu, doktor, jururawat dan waris kanak-kanak lelaki itu terbakar dalam kejadian jam 2.20 pagi.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya menerima maklumat sebuah ambulans jenis Toyota yang membawa pesakit batuk kokol terbakar ketika Jalan Pasir Puteh - Melor - Kubang Kerian.
"Mereka bertolak dari HTA pada jam 1.50 pagi bertujuan membawa kanak-kanak terbabit yang memerlukan rawatan lanjut di HUSM, namun sebaik tiba di lokasi pemandu van itu ternampak asap di bahagian bahagian enjin.
"Pemandu itu kemudian memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan mengarahkan kesemua mangsa keluar menyelamatkan diri sebelum menghubungi bomba,” katanya.
Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dialami akibat kejadian itu dan pesakit selamat dibawa ke HUSM menggunakan ambulans lain.
"Siasatan awal mendapati tiada unsur khianat atau perbuatan jenayah, namun siasatan diteruskan bagi mengena pasti punca kebakaran,” katanya.