PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menolak untuk membawa masuk pemain yang belum mendapatkan vaksin Covid-19 kerana menganggap mereka akan menjadi 'ancaman' kepada skuad The Reds itu.
Sebelum ini, Klopp lantang bersuara mengenai kepentingan orang ramai mendapatkan vaksin di sebalik peningkatan ketara kes jangkitan Covid-19 di United Kingdom yang kini dipacu varian Omicron.
Penggunaan vaksin sangat meluas di kem Liverpool dan Klopp percaya cabaran untuk membawa masuk pemain tanpa sebarang bentuk perlindungan adalah terlalu berisiko.
"Saya fikir (divaksin) akan mempengaruhi siapa yang ingin diikat kelab. Jika seorang pemain tidak diberi vaksin, sudah tentu dia akan menjadi ancaman berterusan kepada kita semua.
"Dia tidak mahu menjadi ancaman tapi itu bukan apa yang difikirkannya. Saya tidak peduli dengan yang lain. Tapi jika pemain tidak divaksin ia akan menjadi ancaman.
"Dia perlu menukar pakaian di bilik persalinan berbeza, makan di ruang makan berbeza, duduk di dalam bas berbeza, perlu memandu dalam kereta berlainan, daripada sudut organisasi, ia menjadi sangat kucar-kacir,” katanya.
Ketika ini, sekurang-kurangnya tiga pemain Liverpool - Virgil van Dijk, Fabinho dan Curtis Jones didapati positif Covid-19 sehingga mereka terlepas aksi terakhir Liverpool menentang Newcastle United pada awal pagi Jumaat lalu.
Situasi itu nyata meresahkan Klopp memandangkan Liverpool kini sedang bersaing hebat dengan Manchester City dan Chelsea dalam pemburuan kelompok teratas EPL.
"Jika seseorang pemain dijangkiti Covid-19 dan pemain yang tidak divaksin itu berada di sekelilingnya dalam empat hari terakhir, maka dia perlu dikuarantin.
"Jika kami perlu bertandang ke negara lain untuk perlawanan antarabangsa dan apabila kembali, dia juga perlu menjalani kuarantin. Sudah tentu ia akan mempengaruhi perancangan kami.
"Malah, kami perlu membina bangunan tambahan untuk pemain yang tidak divaksinasi, tetapi ia tidak akan berlaku. Jika mengikut protokol, ia sangat sukar untuk dilakukan,” tegas Klopp.