Malaysia meterai MoU pengambilan pekerja Bangladesh sehingga 2026

Iklan
Sejumlah 326,669 rakyat Bangladesh bekerja di Malaysia dengan jumlah majoriti di sektor perkilangan dan pembinaan.

PUTRAJAYA - Malaysia dan Bangladesh pada Ahad memeterai memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan pekerja Bangladesh untuk berkhidmat di negara ini, berkuatkuasa selama lima tahun sehingga Disember 2026.

MoU itu ditandatangani Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan dan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmed di ibu negara.

Iklan
Iklan

Saravanan berkata, MoU tersebut menggariskan tanggungjawab kedua-dua negara termasuklah berkaitan majikan Malaysia dan pekerja Bangladesh serta tanggungjawab agensi-agensi pekerjaan swasta di kedua-dua negara.

"MoU ini adalah susulan daripada kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri agar ia dimuktamadkan segera kerana memorandum MoU terdahulu telah tamat tempoh pada 17 Februari lepas," katanya dalam kenyataan susulan pemeteraian memorandum itu.

Iklan

Beliau berkata, pelaksanaan MoU itu akan dikawal selia oleh satu Kumpulan Kerja Bersama (JWG) yang dianggotai oleh kedua-dua negara.

Saravanan berkata, sehingga 30 November lepas, sejumlah 326,669 rakyat Bangladesh bekerja di Malaysia dengan jumlah majoriti di sektor perkilangan (111,694 orang) dan sektor pembinaan (136,897 orang).

Iklan

"Pemeteraian MoU ini dijangka dapat menampung keperluan mendesak untuk guna tenaga asing termasuk di sektor perladangan yang telah pun diluluskan oleh Jemaah Menteri sebanyak 32,000 orang secara pengecualian khas.

"Hal ini kerana terdapatnya kekangan bagi kemasukan pekerja warga Indonesia bagi sektor perladangan sehinggalah MoU berhubung Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dimeterai,” jelas beliau.

Saravanan berkata, Kementerian Sumber Manusia juga menetapkan bahawa majikan, yang ingin menggajikan pekerja asing, perlu menyediakan kemudahan perumahan atau penginapan seperti mana yang terkandung dalam Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

"Ini bagi menangani elemen buruh paksa yang berkaitan dengan kemudahan penginapan atau perumahan pekerja,” katanya.

Selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember lepas untuk membenarkan pengambilan pekerja asing dibuka untuk semua sektor, beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi kemasukan pekerja asing ke semua sektor telah diperkemas dan ditambah baik.

SOP itu merangkumi empat fasa iaitu prapelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan (tempoh kuarantin) dan pasca kuarantin.

Fasa prapelepasan termasuklah aspek keperluan vaksinasi lengkap Covid-19 di negara sumber dan ujian saringan RT-PCR dilakukan dua hari sebelum pelepasan.

Dalam fasa ketibaan, pekerja warga asing cuma dibenarkan melalui satu pintu masuk antarabangsa iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi laluan udara.

Saravanan berkata, Bukit Kayu Hitam, Wang Kelian serta Rantau Panjang adalah laluan darat yang terhad kepada kru bot penangkapan ikan rakyat Thailand.

"Bagi fasa selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin, pekerja asing akan ditempatkan di pusat kuarantin di Lembah Klang selama tujuh hari di mana ujian saringan akan dibuat pada hari kedua dan kelima tempoh kuarantin.

"Dalam fasa pasca kuarantin pula, pekerja warga asing akan dibawa ke tempat kerja masing-masing dan akan menjalani pemeriksaan kesihatan oleh Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema),” katanya.

Kemasukan pekerja asing termasuk rakyat Bangladesh akan dipantau ketat berdasarkan SOP itu oleh Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. - Bernama