Air Sungai Golok naik mendadak, penduduk mula berpindah

Iklan
Air Sungai Golok mula melimpah, pada jam 5 petang ia sudah melepasi paras bahaya mencatatkan bacaan 10.30 meter.

RANTAU PANJANG - Peningkatan mendadak air Sungai Golok susulan hujan lebat sejak tengah malam menyebabkan penduduk yang tinggal di sepanjang sungai itu di sini mengambil keputusan untuk berpindah awal.

Tinjauan Sinar Harian di Kampung Kedai Lama Rantau Panjang pada Ahad mendapati, semenjak jam 1 petang penduduk mulai keluar dari kediaman menuju ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk, Wan Esah Wan Hussin, 60, berkata, keputusan untuk berpindah awal itu diambil selepas bimbang melihat tahap air Sungai Golok mula melimpah masuk ke kawasan rumahnya.

"Paras air di kawasan rumah sudah mencecah 0.3 meter. Berpandukan kepada keadaan cuaca, saya dan suami bersepakat untuk ke PPS lebih awal sebelum malam kerana takut tidak dapat keluar sebab air makin naik," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Menurut beliau, sejurus selesai berkemas dia terus keluar terlebih dahulu dari rumah dengan membawa seekor kucing sebagai peneman.

Wan Esah keluar terlebih dahulu dari rumah dengan membawa seekor kucing di dalam beg sebagai peneman di PPS nanti.

Katanya, keputusan berpindah awal dilihat tepat apabila jiran-jiran turut berbuat demikian.

Iklan

Saufi Deraman, 64, pula berpendapat, berpindah awal merupakan jalan terbaik bagi mengelakkan 'terperangkap' dalam banjir selepas air Sungai Golok makin melimpah masuk ke kawasan kampungnya.

"Selain itu kami tidak mahu menyusahkan anggota pasukan penyelamat untuk datang menghulurkan bantuan.

"Walaupun sudah sebati dengan banjir, namun perasaan bimbang tetap ada. Sebab itulah kami mahu berpindah awal," katanya.

Saufi memikul barangan keperluan untuk berpindah awal bagi mengelakkan 'terperangkap' dengan banjir selepas air Sungai Golok makin melimpah masuk ke kawasan kampungnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zawiah Azmi, 32, berkata, hatinya mula bimbang sebaik sahaja melihat paras bacaan air Sungai Golok yang naik begitu cepat.

"Sekitar jam 1.30 tengah hari, saya dan suami serta anak-anak mengambil keputusan berpindah awal demi keselamatan," katanya.

Portal ebanjir.kelantan.gov.my setakat jam 5 petang menunjukkan air Sungai Golok sudah melepasi paras bahaya dan berada pada bacaan 10.30 meter.