LARUT - Kerajaan Perak menawarkan bantuan kepada negeri-negeri yang berdepan bencana banjir khususnya Selangor dan Pahang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya akan melihat bantuan sesuai yang boleh disalurkan kepada negeri-negeri berkenaan.
Menurut beliau, perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, Khairul Ridzuan Mat Said akan dilakukan bagi membincangkan mengenai perkara itu.
"Saya akan berbincang untuk melihat apa keperluan yang boleh kita tawarkan sebab pertama kita juga kena membuat persiapan untuk Perak sendiri, yang kedua kita nak kena tengok sebab kita nak pergi pun tak boleh ni sebab ada kawasan jalan terputus.
"Apabila jiran kita ditimpa musibah kita tak ada pilihan, kita kena bantu cuma apa bentuk bantuan itu kita akan putuskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, di sini pada Ahad.
Sementara itu, Saarani menjelaskan, kerajaan negeri sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi bencana banjir.
Jelas beliau, semua jawatankuasa bencana daerah dan agensi berkaitan di negeri ini telah diperingatkan untuk bersiap sedia dalam menghadapi banjir.
"Saya ingatkan pada jawatankuasa bencana daerah masing-masing dan semua agensi yang terlibat supaya bersiap sedia. Kita bimbang kalau ia berlaku pada waktu malam dengan kegelapan malah kalau nasib tak baik boleh terputus bekalan elektrik dan kita akan menghadapi masalah.
"Kedua, kalau kita tak siap siaga, kita nak kena cari pusat penempatan sementara. Jadi semua agensi yang terlibat, kita bersiap siaga jangan tunggu ia berlaku baru kita nak buat semua itu," katanya.
Dalam pada itu, Saarani berkata, banjir yang berlaku di daerah Hilir Perak ketika ini disebabkan pertembungan air pasang besar dan hujan yang lebat.
Sehubungan itu, penduduk di pesisir sungai dan pantai di negeri ini dinasihatkan supaya sentiasa berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan.
Pada Ahad, hujan berterusan melebihi 24jam menyebabkan 21 keluarga dari Kampung Batu 8 dan 9, Changkat Jong di sini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menangah Abdul Rahman Talib di sini yang dibuka sejak jam 8 pagi.