SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pelan tindakan lebih komprehensif dikemas kini khususnya apabila berhadapan dengan fenomena bencana banjir luar jangkaan di negeri ini.
Selangor Royal Office dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan, Sultan Sharafuddin bertitah pelan tindakan itu penting supaya tindakan lebih pantas dapat diambil dan kebajikan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga.
"Baginda dengan tegas mahu pihak berkuasa bertanggungjawab menyegerakan bantuan ke seluruh pelusuk kawasan yang terjejas.
"Baginda turut mengarahkan agar Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus menghulurkan bantuan ke pusat-pusat penempatan sementara banjir dan mengenal pasti situasi rakyat yang kritikal," kata kenyataan itu di Facebook pada Ahad.
Kenyataan itu memberitahu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan bencana banjir terburuk yang melanda sebahagian besar daerah di negeri ini susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Jelas kenyataan itu, baginda dimaklumkan banyak lokasi terjejas dan terputus hubungan akibat jalan raya dinaiki air serta kawasan kediaman dilanda banjir luar biasa sehingga kini.
"Baginda menyaksikan sendiri gambar dan video kawasan terjejas dan turut risau serta bimbang dengan kesukaran yang sedang dihadapi oleh rakyat jelata," ujar kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu, baginda terharu melihat semangat kerjasama ditunjukkan oleh ahli masyarakat dan kumpulan sokongan yang saling membantu antara satu sama lain ketika berdepan keadaan amat meruncing.
"Baginda berdoa ke hadrat ALLAH agar bencana banjir ini segera berakhir dan semua urusan rakyat jelata dipermudah serta kembali seperti sedia kala," kata kenyataan itu.