TONGGAK pertahanan kental Jordan, Yazan Al-Arab secara rasmi diperkenalkan sebagai pemain baharu Selangor FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Berketinggian 1.86 meter (m) dan sehingga kini sudah beraksi 24 perlawanan antarabangsa, Yazan meluahkan perasaan gembira apabila dapat beraksi bersama Gergasi Merah.
"Saya teruja nak berjumpa dengan semua termasuk penyokong Selangor. Saya akan bekerja keras untuk membantu Selangor dalam memberi cabaran musim hadapan untuk meletakkan nama Selangor kembali sebagai pencabar kejuaraan,” katanya.
Pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner pula percaya pemain berusia 25 tahun itu mampu memberi impak kepada barisan pertahanan Gergasi Merah dengan kelebihan yang dimiliki.
"Saya lihat perlawanannya bersama Jordan pada Oktober lalu dan sangat kagum dengan prestasinya. Kami memerhatinya dengan sangat dekat dan kami memulakan perbualan secara peribadi sehingga perjanjian ditandatangani.
"Yazan sudah bermain dalam bola sepak peringkat tertinggi bersama kelab dan pasukan kebangsaannya. Dia mempunyai fizikal yang kuat dan sangat bagus ketika situasi bola tinggi.
"Dia seorang bek tengah dengan kekuatan kaki kiri dan ini dilihat mampu menambah kekuatan barisan pertahanan tengah yang kebanyakan lebih dominan dengan kaki kanan,” ujarnya.
Yazan adalah pemain baharu kedua yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama Selangor FC selepas penjaga gol kacukan, Samuel Somerville.