BATU GAJAH - Dua kilang dan sebuah stor penyimpanan bahan kimia musnah dalam satu kebakaran di Kawasan Perindustrian Bemban di sini pada Ahad.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengambil masa lebih 10 jam untuk memadamkan kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9 pagi itu.
Kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Ketua operasi, Mohamad Fadzeli Che Husin berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada jam 9.19 pagi.
"Setibanya di lokasi kejadian, api didapati sedang marak dan anggota segera menjalankan operasi pemadaman.
"Kebakaran dipercayai bermula dari stor berkenaan sebelum api merebak ke dua kilang lain.
"Anggota turut berdepan kesukaran berikutan letupan yang berlaku di stor penyimpanan bahan kimia itu," katanya.
Menurut beliau, letupan itu membahayakan anggota bertugas hingga menyebabkan mereka terpaksa membuat semburan air pada jarak jauh.
"Stor penyimpanan bahan kimia itu musnah terbakar keseluruhan manakala dua buah kilang terbakar 80 dan 70 peratus.
"Setakat ini keadaan terkawal namun operasi masih diteruskan dengan menggunakan jengkaut dan 'forklift' untuk proses baik pulih kerana terdapat nyalaan bara api di beberapa tempat," katanya.
Mohamad Fadzeli berkata, punca kejadian dan kos kerugian masih dalam siasatan.
Katanya, operasi melibatkan 80 pegawai dan anggota termasuk BBP Ipoh, BBP Pasir Puteh, BBP Simpang Pulai, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu dan PBS Pekan Baru.