Harimau Malaya lunyai diganyang Indonesia

Iklan
Pemain sayap Harimau Malaya, Ariff Aiman Hanapi bersaing dengan pemain Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi. Foto FB FAM

MISI Malaysia mara ke pentas semi final Piala Suzuki AFF 2020 lebur apabila tumpas 1-4 kepada Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.

Berbanding Malaysia, Indonesia jelas kelihatan lebih bertenaga untuk meraih kemenangan, sekali gus melayakkan mereka ke peringkat separuh akhir.

Iklan
Iklan

Indonesia bermula garang apabila mengancam kubu skuad Harimau Malaya seawal minit kedua menerusi percubaan bek kiri, Pratama Arhan Alif Rifai.

Berselang seminit kemudian, penjaga gol Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat melakukan kesilapan mudahapabila bola daripada dakapannya terlepas. Mujur, bola tidak menuju ke arah gawang skuad negara, sebaliknya hanya bergolek keluar.

Iklan

Harimau Malaya berjaya merobek gawang Indonesia apabila rembatan jarak jauh R. Kogileswaran berjaya melepasi jangkauan penjaga gol Indonesia, Nadeo Argawinata pada minit ke-13.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Indonesia bangkit dengan dua serangan, namun rembatan jarak dekat Ezra Walian gagal menepati sasaran manakala rembatan Witan Sulaeman mudah ditangkap Khairul Fahmi.

Iklan

Memasuki minit ke-35, Harimau Malaya hampir menambah jaringan, namun percubaan Syafiq Ahmad tatkala Nadeo sudah pun keluar daripada posisinya sedikit tersasar.

Jaringan penyamaan Indonesia akhirnya hadir seminit kemudian selepas Witan yang tidak diawasi pertahanan negara, melakukan ‘cutback’ bagi membolehkan Irfan Jaya menolak masuk bola ke gawang Harimau Malaya.

Kesebelasan utama skuad Harimau Malaya berdepan Indonesia sebentar tadi. Foto FB FAM

Ketika aksi babak pertama berbaki dua minit, Irfan sekali lagi menghukum kealpaan benteng pertahanan negara untuk menghadiahkan gol kedua Indonesia.

Bersambung babak kedua, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe membuat beberapa pertukaran termasuklah dengan meletakkan pertahanan, Dion Cools di bahagian depan, namun belum cukup menggempur kubu Indonesia.

Sebaliknya, Indonesia menambah dua lagi gol menerusi rembatan cantik Pratama pada minit ke-50 sebelum pemain gantian, Elkan Baggot mengesahkan kemenangan bergaya Indonesia.

Kekalahan itu menyaksikan Harimau Malaya sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan B, sekali gus gagal mengulangi pencapaian mara ke pentas final pada edisi 2018.