SHAH ALAM - Beberapa orang mangsa banjir di Taman Sri Muda di sini berjaya dibawa keluar pada malam Ahad menggunakan bot hasil kerjasama pasukan penyelamat dan sukarelawan.
Namun difahamkan masih ramai mangsa yang terkandas di kediaman masing-masing susulan kawasan perumahan itu dinaiki air sejak dua hari lalu.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Bukit Bintang, Sheikh Khuzaifah Bawazeer berkata, usaha menyelamatkan mangsa yang terkandas berdepan pelbagai cabaran terutama pada sebelah malam.
Menurutnya, keutamaan perlu diberikan kepada mangsa yang sangat memerlukan.
"Keadaan di Sri Muda betul-betul getir. Ini sedikit gambaran mengenai cabaran menanti usaha menyelamatkan mangsa yang terkandas.
"Sebab itu, mangsa yang betul-betul memerlukan sahaja wajar dibawa keluar buat sementara waktu. Selebihnya bantuan makanan dan minuman yang dapat diberikan" katanya dalam hantaran di Facebook, pada Isnin.
Seorang sukarelawan, Fadli Salleh berkata, terdapat 58 bot disediakan bagi tujuan menyelamatkan penduduk di taman itu yang dilakukan tanpa henti walaupun dalam keadaan gelap-gelita.
Menurutnya, mangsa berdepan situasi kekurangan makanan dan kesejukan tanpa bekalan elektrik selain keletihan.
"Semoga semua mangsa yang masih terperangkap dapat diselamatkan segera.
"Doakan semua sukarelawan dan anggota penyelamat terus kuat dan selamat dalam operasi mereka," katanya.
Pada malam Sabtu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang berada di lokasi kejadian memaklumkan akan ada lebih banyak bot bagi mengeluarkan mangsa.
Katanya, selain air yang masih belum surut, suasana gelap gelita dan kereta yang terbengkalai menyukarkan pergerakan pasukan penyelamat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut memuat naik gambar dan video situasi dihadapi pasukan penyelamat di kawasan berkenaan.
"Kebanyakan masih terperangkap dalam rumah. Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk pindahkan sebanyak yang boleh. Doakan saya semoga semuanya berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu seorang penduduk dikenali sebagai Zue Azura memaklumkan paras banjir di kawasan Taman Sri Muda sudah mulai surut.
"Alhamdulillah air dari paras siling semalam dah mula surut. Semoga cuaca terus cerah dan air surut dengan cepat,” katanya.