KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Agensi Penggalakkan Perdagangan Pelaburan Korea (Kotra) dengan matlamat strategik untuk meningkatkan perdagangan dua hala dan tukaran pelaburan halal, serta akses pasaran bagi produk-produk dan perkhidmatan halal antara kedua-dua negara.
Naib Presiden Pembangunan Industri HDC, Hanisofian Alias berkata, prestasi eksport sektor halal ke Korea Selatan telah meningkat sejajar dengan peningkatan permintaan untuk produk halal, ditambah pula dengan timbulnya kesedaran mengenai halal.
Iklan
Iklan
"Pasaran adalah luas dan ini adalah peluang yang baik untuk peneraju dari Malaysia bagi mengembangkan pasaran mereka melangkaui sempadan domestik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MoU tersebut telah ditandatangani oleh Hanisofian bagi pihak HDC, sebuah agensi di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan KOTRA pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Presidennya, Kwon Pyung Oh. Ia disaksikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Hanisofian, industri kosmetik Korea Selatan mempunyai potensi yang besar di pasaran kosmetik halal memandangkan banyak jenama Korea sekarang ini sudah mula menyedari potensinya.
"Mereka sekarang ini sedang menjalankan lebih banyak kajian dan prosedur ujian bagi standard halal untuk peluasan akan datang di luar negara, Malaysia boleh menjadi batu loncatan yang sesuai bagi syarikat-syarikat ini untuk mencapai pasaran serantau dan antarabangsa,” katanya.
Eksport halal Malaysia ke Korea Selatan, yang meningkat 6.25 peratus kepada RM1.36 bilion pada 2017 daripada RM1.28 bilion pada 2016, dijangka akan naik lebih tinggi lagi. - Bernama