SHAH ALAM - Mayat seorang lelaki dipercayai lemas dalam banjir ditemukan terapung di tingkat bawah sebuah flat di Taman Permata Dengkil pada Isnin.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.56 pagi.
Menurutnya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sejurus tiba, bomba menemui mayat dalam keadaan terapung berikutan banjir dengan kedalaman dianggarkan 0.05 meter," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Norazam berkata, mayat ditemui itu dikenali sebagai V Kaniappan, 52, dipercayai lemas berikutan banjir.
"Operasi mengangkat mayat menggunakan pengusung dilakukan dan mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 10 pagi," ujarnya.