BENTONG - Jalan lama laluan Kuala Lumpur-Bentong berhampiran simpang Lentang di sini terputus ekoran kejadian tanah runtuh pada petang Ahad.
Berdasarkan maklumat melalui Facebook Jabatan Kerja Raya (JKR) Bentong, susulan kejadian itu laluan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan.
Menurut laporan itu, jalan yang terputus membabitkan laluan sepanjang 16 meter dengan lebar 10 meter manakala ketinggian runtuhan kira-kira lapan meter.
"Papan tanda amaran telah dipasang sebagai amaran kepada pengguna," jelas kenyataan itu.
Bentong antara daerah yang terjejas teruk dalam kejadian banjir kali ini ekoran hujan lebat yang berterusan sejak Sabtu.
Laluan utama dari Lembah Klang ke pantai timur melalui Lebuhraya Kuala-Lumpur- Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) juga ditutup di beberapa lokasi akibat banjir dan tanah runtuh.