PASIR GUDANG - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan tiada kematian akibat dari kejadian pembuangan bahan kimia di Pasir Gudang.
Selain itu, menurutnya, pada hari ini, seramai 506 pesakit yang telah dirawat.
"Yang kita ‘admit’ dalam wad ada 166 orang dengan sembilan (orang) berada di ICU. Dan untuk pengetahuan, sekali lagi saya tegaskan, apa pun berita yang dalam media sosial menimbulkan tentang kematian, tidak ada kematian.
"Saya merakamkan jutaan terima kasih atas usaha gigih semua pihak khususnya Pengarah Jabatan Kesihatan negeri dan semua staf-staf kami di hospital dan klinik di Pasir Gudang dan Johor amnya,” katanya pada sidang media di Menara Aqabah, MPPG di sini hari ini.
Selain itu, beliau turut mengambil kesempatan memberi ingatan kepada orang ramai khususnya di Pasir Gudang dan berdekatan kawasan pencemaran agar mengambil langkah-langkah pencegahan.
"Orang awam diminta untuk mengelakkan diri dari memasuki dan berada di kawasan kejadian.
"Dapatkan rawatan jika alami apa-apa gejala seperti loya, muntah, sesak nafas, sakit mata dan sakit dada.
"Orang awam dan petugas yang terlibat di kawasan kejadian diminta mengambil langkah keselamatan dan pencegahan yang perlu termasuk alat pelindung diri yang sesuai,” katanya.
Dzulkefly berkata, orang ramai juga dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti berhampiran Sungai Kim Kim, dan mereka yang terdedah dengan bahan kimia diminta mandi serta mencuci pakaian secara berasingan.
Peringatan terakhir, katanya, orang ramai diminta untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung kejadian menerusi sumber yang sahih selain mematuhi arahan pihak berkuasa.