Luluh hati lihat rumah runtuh akibat banjir

Iklan
Keadaan rumah Siti Azian yang rosak teruk di bahagian depan akibat banjir di Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Isnin.

KUALA SELANGOR - Luluh hati seorang kerani sebuah syarikat swasta apabila bahagian depan rumahnya runtuh akibat banjir dalam kejadian di Kampung Bestari Jaya di sini pada Isnin.

Siti Azian Mohd Hanafiah, 41, berkata, kejadian jam 4.30 pagi itu disedari suaminya yang ketika itu meninjau keadaan banjir di sekitar kawasan rumah.

Iklan
Iklan

"Saya terkejut apabila suami memaklumkan struktur depan rumah sebahagiannya runtuh akibat hentaman air deras," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Siti Azian berkata, air mula memenuhi bahagian longkang belakang rumahnya pada jam 8 malam Ahad sebelum paras air meningkat dua jam selepas itu.

Iklan

"Saya bersama suami dan empat anak kemudian mengosongkan rumah untuk berpindah ke rumah jiran selepas keadaan air naik lebih tinggi.

"Saya bermalam di sana (rumah jiran) dan tidak menyangka pagi tadi (Isnin) saya dapat maklumat rumah kami rosak akibat banjir.

Iklan

"Saya rasa sedih apabila melihat keadaan rumah sebegitu rupa dan jumlah kerugian dialami masih belum dapat dipastikan memandangkan keadaan air belum surut.

"Banyak barangan perabot dan peralatan elektrik di dalam rumah dan berharap agar semuanya kembali pulih seperti sedia kala," katanya.

Siti Azian yang menetap sejak 10 tahun lalu memberitahu, mereka sekeluarga tidak putus berdoa agar rumah mereka tidak mengalami kerosakan teruk dan dihanyutkan banjir.

"Air di sini terlalu deras dan lebih membimbangkan apabila berlaku pertembungan air lombong tinggal dan sungai berhampiran.

"Keadaan ketika ini masih belum pulih dan kalau diikutkan berlaku mendapan tanah teruk di sini," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Fisabilillah Kampung Bestari Jaya, Nikmatulllah Abu Bakar Citi berkata, setakat ini kira-kira 500 mangsa daripada 300 keluarga terjejas akibat banjir di kampung itu.

Katanya, pada ketika ini usaha memindahkan dan operasi menyelamat sedang digerakkan ke kawasan terjejas.

"Paling penting setakat ini, kami memerlukan bantuan makanan dan ubat-ubatan selain lampin pakai buang berikutan keadaan banjir semakin buruk di kampung ini," katanya.