Penduduk Taman Sri Muda cemas tunggu diselamat hampir 48 jam

Iklan
Kelihatan mangsa banjir meredah air untuk menyelamatkan diri ketika tinjauan di Taman Seri Muda Seksyen 25 pada Isnin. - Foto Bernama, gambar kecil dari kiri: Alim, Ramadan, Zaidi

SHAH ALAM - Penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini berdepan detik cemas apabila terpaksa menunggu hampir 48 jam sebelum menerima bantuan dan dibawa keluar dari rumah mereka yang ditenggelami air sejak Sabtu lalu.

Peniaga, Zaidi Awang, 37, yang merupakan seorang penduduk di situ berkata, air naik dengan pantas bermula petang Sabtu menyebabkan dia dan keluarganya tidak mampu menyelamatkan diri ataupun mendapatkan sebarang bantuan dari luar.

Iklan
Iklan

"Selama 10 tahun menetap di sini, air memang naik setiap kali hujan lebat namun tidak pernah setinggi ini. Pada Sabtu, kami makan tengah hari di luar, apabila balik air sudah separas betis saya di kawasan luar rumah.

"Tidak lama kemudian, air mula memasuki bahagian dalam rumah hingga mencecah tangga dan terus meningkat sebelum bahagian tingkat bawah rumah tenggelam sepenuhnya kira-kira jam 3 pagi Ahad,” katanya ketika ditemui selepas diselamatkan pihak berkuasa pada tengah hari Isnin.

Iklan

Zaidi berkata, sejak Sabtu malam apabila air mula memenuhi ruang bawah rumah dua tingkat berkenaan, dia bersama isteri dan anaknya yang berusia hampir setahun serta dua saudara ternanti-nanti bantuan tiba menyelamatkan mereka.

Katanya, keluarganya juga kehabisan makanan selain dia turut risau dengan keadaan anaknya yang masih kecil.

Iklan

"Petang semalam (Ahad) baru ada orang datang beri bantuan, itupun untuk beri bekalan makanan sahaja. Makanan kami memang putus sejak hari Sabtu.

"Jadi kami tanya jiran-jiran untuk berkongsikan makanan seperti air dan juga biskut,” katanya.

Zaidi turut memaklumkan, walaupun terdapat sukarelawan bot yang berusaha untuk membawa keluar mangsa banjir sejak Sabtu, namun jumlahnya sangat terhad.

Malah katanya, usaha digerakkan oleh orang awam pada waktu malam juga sangat berbahaya memandangkan kedalaman air pada ketika itu di samping bimbangkan risiko haiwan liar.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Ramadan Syaputra, 25, berkata, dia meredah banjir pada pagi Isnin untuk mendapatkan bantuan selepas air mula surut selepas terkandas bersama lima ahli keluarganya di tingkat dua rumahnya sejak dua malam lalu.

Katanya, bekalan eletrik di kawasan tersebut juga telah terputus sejak jam 8 malam pada Sabtu dan mereka hanya ditemani dengan bantuan lampu suluh telefon bimbit untuk sebarang pergerakan.

Katannya, walaupun terdapat bantuan makanan yang mula digerakkan sejak Sabtu malam, namun ia dilihat sangat terhad dan tidak mencukupi untuk diberikan kepada ramai keluarga yang masih terkandas.

Dalam pada itu, seorang lagi pekerja swasta, Alim Umol, 35, yang tinggal di Flat Valencia berkata, bantuan menyelamat dengan menggunakan bot dilihat giat dijalankan bermula pada jam 12 tengah malam Ahad.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihak berkuasa turut menghadapi kesukaran untuk menggerakkan bot mereka di kawasan yang memiliki banyak kereta yang telah ditenggelami air.