Mangsa banjir Kuala Krai 'gred A'

Iklan
Muhammad Rizwan (kiri) melakukan tinjauan di kawasan Manek Urai Lama, Kuala Krai yang ditenggelami banjir ekoran limpahan air Sungai Kelantan.

KUALA KRAI - Mangsa banjir di jajahan ini disifatkan sebagai 'gred A' apabila mereka mengambil keputusan untuk berpindah sendiri ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kawasan rumah mereka mula ditenggelami air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, sikap itu amat baik sekali gus memperlihatkan kesedaran mereka untuk berpindah semakin tinggi.

Iklan
Iklan

"Saya ucapkan tahiah kepada penduduk yang telah mengambil inisiatif berpindah awal termasuklah pemimpin komuniti seperti penghulu dan penggawa kerana telah membantu melancarkan urusan ini.

"Kebanyakan mangsa dan pemimpin setempat sudah peka dengan situasi semasa cuaca di tempat mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, kerjasama erat penduduk dengan pimpinan setempat itu membolehkan Bomba Kuala Krai membuat perancangan rapi bagi melancarkan operasi menyelamat selepas ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh banjir gelombang pertama, pihaknya hanya menerima satu sahaja panggilan untuk memindahkan mangsa di Kampung Hamzah seramai tiga orang.

Iklan

Muhammad Rizwan berkata, keadaan cuaca di jajahan Kuala Krai pada Isnin semakin bertambah baik berbanding Ahad.

"Jika keadaan berterusan saya yakin lebih banyak PPS akan ditutup dan penduduk dapat kembali ke semula rumah masing-masing dengan selamat," katanya.

Sementara itu, aplikasi InfoBencanaBanjirJKM setakat jam 4 petang menunjukkan sebanyak 19 PPS masih aktif di Kuala Krai yang menempatkan seramai 1,050 mangsa.