Perak akan hantar bantuan pasca banjir

Iklan
Saarani berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah berhubung dengan rakan sejawatnya di Selangor dan Pahang bagi mendapatkan maklum balas bentuk bantuan yang diperlukan. - Foto Bernama

IPOH - Perak akan menghantar bantuan kepada negeri-negeri yang terkesan akibat banjir dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim telah berhubung dengan rakan sejawatnya di Selangor dan Pahang bagi mendapatkan maklum balas bentuk bantuan yang diperlukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak juga diminta berhubung dengan semua PBT di negeri lain bagi mendapatkan maklumat tentang keperluan mereka.

"Apabila berlaku bencana mesti ada ketentuan yang diperlukan agar bantuan disalurkan tidak menjadi lambakan yang tak tentu arah. Jika hantar bot tapi tak ada pemandu tiada gunanya juga. Keduanya, kita perlu lihat kemampuan kita untuk salurkan bantuan, jika kita ada 'man power' maka kita akan hantar.

Iklan

"Kita difahamkan walaupun dah surut, keperluan di Selangor adalah untuk membersihkan kesan banjir seperti kayu dan sampah yang berselerak serta lumpur. Lumpur kering ini susah untuk dibersihkan dan perlukan air. Jadi kita akan menghantar bantuan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pejabat Menteri Besar, di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, Saarani menegaskan kerajaan negeri terus memantau laporan paras air dari empat empangan utama iaitu Empangan Temengor, Empangan Bersia, Empangan Kenering dan Empangan Chenderoh.

Iklan

Menurutnya, sehingga kini bacaan paras air di kesemua empangan di negeri itu masih terkawal begitu juga di Sungai Perak.

"Jika berlaku lebihan air tertakung di Empangan Temengor air akan dilepaskan ke Empangan Bersia. Kalau lebih akan turun ke Empangan Kenering sebelum ke Empangan Chenderoh. Jika empangan Chenderoh lebih kita akan lepaskan air barulah ia menyebabkan banjir berlaku di Kuala Kangsar, Kampung Gajah dan seterusnya di Teluk Intan.

"Dalam pemerhatian kita, paras air Sungai Perak nampaknya tak ada masalah," ujarnya.

Sehingga 19 Disember, empat empangan berkenaan belum melepasi paras amaran dan air hanya akan dilepaskan apabila ia melepasi paras bahaya.