KUANTAN- Empat mayat mangsa yang dilaporkan hilang selepas kenderaan mereka yang melalui jambatan Telemong, Bentong pada Sabtu lalu dihanyutkan arus deras sungai ditemukan pada Isnin.
Keempat-empat mayat mangsa ditemukan antara dua hingga lima kilometer dari jambatan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat pertama merupakan seorang wanita ditemukan pada jarak satu kilometer dari jambatan berkenaan pada jam 1.17 petang.
Menurutnya, mayat mangsa kedua yang merupakan wanita Melayu warga emas ditemukan pada jam 1.38 petang, kira-kira 100 meter daripada lokasi mangsa pertama ditemukan.
"Mangsa ketiga yang merupakan lelaki ditemukan pada jarak 1.2 kilometer dari jambatan pada jam 2.07 petang disusuli penemuan mayat mangsa keempat tragedi di Telemong pada jam 4.23 petang.
"Bagaimanapun, seorang lagi mangsa dilaporkan masih hilang dan kerja mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Pada Sabtu, sebanyak lima kenderaan yang melalui Jambatan Telemong, Bentong telah dihanyutkan arus deras dipercayai kepala air.
Difahamkan, dalam kejadian itu, seramai 10 orang berjaya menyelamatkan diri manakala enam orang dihanyutkan arus deras termasuk seorang yang ditemukan lemas pada Ahad.
Polis Daerah Bentong sebelum ini mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan lima orang dalam kejadian di Telemong.
Mengulas lanjut susulan kejadian tersebut, Ismail berkata, kerja-kerja mencari dan menyelamat dilakukan membabitkan seramai 23 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Karak dan dibantu pekerja kilang berhampiran.
Katanya, gerakan mencari mangsa yang hilang masih lagi diteruskan dengan kaedah menyusur mengikut arus sungai.
Operasi mencari dan menyelamat bersambung Selasa.