Sanggup redah banjir demi kucing

Iklan
Mohd Shahrizan sanggup meredah banjir untuk memberi kucing-kucingnya makan selepas kediamannya di Kampung Batu 8, Lorong Kedah, Changkat Jong dinaiki air.

TELUK INTAN - Seorang lelaki sanggup meredah banjir yang mencecah hampir satu meter setiap hari demi memastikan kebajikan kucingnya terjaga susulan kejadian banjir di Changkat Jong di sini sejak Ahad.

Mohd Shahrizan Nawawi, 40, berulang-alik ke kediamannya yang dinaiki air di Kampung Batu 8, Lorong Kedah dekat sini dari pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Menangah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, sejauh lapan kilometer tiga kali sehari semata-mata untuk memberi kucing-kucingnya makan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rutin itu terpaksa dilakukan untuk memastikan lapan kucingnya yang dipeliharanya sejak 10 tahun lalu itu tidak kelaparan memandangkan haiwan-haiwan berkenaan tidak dapat dibawa bersama ke PPS.

"Saya tempatkan kucing-kucing bersama sangkar di sebuah rumah kosong berhampiran dengan jalan utama sebab di situ paras air agak rendah.

Iklan

"Agak senang dan selamat untuk saya redah banjir beri mereka makan setiap hari.

"Tak sedap hati kalau tak balik jenguk, lagipun anak-anak selalu bertanya keadaan kucing-kucing mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Shahrizan berkata, dia tidak berhasrat untuk membawa haiwan peliharaannya itu ke PPS kerana tidak mahu mengganggu keselesaan penghuni lain.

"Selagi keadaan mengizinkan, saya akan balik jenguk. Buat masa ini keadaan rumah saya masih tak selamat kerana air naik melebihi paras pinggang," katanya.

Bagi Rasidah Darus, 32, dari Kampung 7 1/2 Lorong Mesra pula terpaksa meninggalkan haiwan-haiwan peliharaannya di atas bumbung rumah selepas paras air naik mendadak akibat hujan lebat berterusan.

Rasidah

Menurutnya, terdapat 10 ekor kucing, lima arnab, lima burung puyuh dan sepasang hamster diletakkan di situ sejak banjir melanda pada Ahad.

"Paras air naik hampir jam 3 pagi, jadi saya dan suami terpaksa panjat bumbung dan letakkan haiwan-haiwan peliharaan kami di situ kerana khuatir ia akan hanyut dan lemas.

"Pagi tadi saya balik jenguk rumah, nampak mereka masih ada atas bumbung lagi, cuma dua ekor kucing hilang, tak tahu ke mana.

"Saya harap banjir surut segera, jika tidak terpaksalah saya minta kebenaran bawa semua haiwan berkenaan ke PPS," katanya.

Setakat jam 4 petang, seramai 264 mangsa banjir daripada 73 keluarga di Perak masih ditempatkan di tiga PPS di daerah Hilir Perak dan Muallim.

PPS SMK Abdul Rahman Talib yang dibuka pada jam 8 pagi Ahad menempatkan 140 mangsa daripada 35 keluarga masing-masing dari Batu 7 Jalan Changkat Jong, Batu 7 1/2 Lorong Mesra, Kampung Batu 8 Lorong Kedah, Kampung Baru Batu 8, Kampung Batu 9 dan Batu 10 di sini.

Paras air masih tinggi ketika tinjauan dilakukan di Changkat Jong susulan kejadian banjir sejak Ahad.

Sementara itu, 85 mangsa lagi daripada 27 keluarga membabitkan penduduk dari Kampung 7 1/2 Lorong Mesra, Batu 9 Changkat Jong, Batu 10 Jalan Bidor dan Batu 15 Kampung Ayer Hitam ditempatkan di Dewan Bandaran Teluk Intan yang dibuka pada jam 9 malam Ahad.

Bagi daerah Muallim pula, seramai 39 mangsa daripada 11 keluarga yang merupakan penduduk dari Kampung Kuala Slim ditempatkan di PPS berkenaan yang dibuka sejak jam 7 petang pada Ahad.