Polis pantau penduduk main banjir

Iklan
Aksi seorang lelaki yang meniti di atas bahagian tepi besi landasan kereta api di Gertak Caber, Tanah Merah pada petang Ahad.

KOTA BHARU - Polis Kelantan meningkatkan pemantauan semasa musim tengkujuh di negeri ini bagi mengekang keterujaan orang ramai yang mula bermain banjir termasuk tindakan terjun ke sungai dari landasan kereta api di Tanah Merah pada Ahad.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, Kelantan masih pada peringkat awal banjir dan didapati ada penduduk teruja bermain banjir.

Iklan
Iklan

"Kemungkinan mereka teruja kerana banjir masih peringkat awal, namun perlu diingat Kelantan masih berada dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 pencegahan Covid-19.

"Saya sudah arahkan semua ketua polis daerah meningkatkan pemantauan di seluruh lokasi masing-masing bagi mengekang kejadian tidak diingini semasa musim tengkujuh,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan seorang lelaki yang meniti di atas landasan kereta api dan terjun ke sungai ketika bermain banjir di Gertak Caber, Tanah Merah pada Ahad.

Shafien menegaskan supaya rakyat di negeri ini agar tidak teruja bermain banjir kerana boleh mengundang bahaya.

Iklan

Sementara itu, seorang pengguna jalan raya yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd, 35, berkata, dia memandu kereta kebetulan melalui jalan di jambatan di Gertak Caber di sini.

Katanya, sampai di jambatan tersebut yang terletak bersebelahan dengan landasan kereta api, dia melihat seorang lelaki meniti di bahagian tepi landasan tersebut sebelum terjun ke sungai.

"Air sungai ketika itu deras dan tidak jauh dari tempat lelaki itu terjun, terdapat sekumpulan penduduk yang turut mandi-manda air banjir.

"Keadaan lelaki tersebut selepas terjun tidak diketahui,” katanya.