HULU LANGAT - Jamzuri Sarijo nampak keletihan ketika duduk terpaku merenung tapak kediaman pusaka keluarganya di Batu 18, Kampung Jawa di sini, selepas struktur rumahnya hilang dibawa arus dalam kejadian banjir besar yang melanda Lembah Klang, Sabtu lalu.
Ketika dihampiri penternak lembu berusia 49 tahun itu berkata, rumah pusaka berusia 70 tahun milik neneknya itu hanyut dibawa arus banjir dalam kejadian sekitar jam 12 tengah malam, Sabtu lalu dan dia hanya mampu melihat sahaja.
"Sebelum kejadian saya sempat menyelamatkan isteri dan tiga anak yang berusia enam hingga 16 tahun ke kawasan bukit berhampiran untuk berlindung.
"Ketika itu, air sudah paras dada, apabila saya nak kembali untuk ambil dokumen penting, saya lihat rumah kayu kami itu hanyut dibawa arus," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Isnin.
Jamzuri berkata, banjir kali ini antara terburuk yang pernah berlaku di kampung itu, yang sebelum ini turut berlaku banjir namun tidak menjejaskan harta benda.
Tinjauan mendapati persekitaran kampung itu jelas menampakkan kawasan yang rosak teruk akibat bencana alam dengan ada beberapa kenderaan terbalik, tersadai, struktur rumah rosak, malah ada yang beralih dari tempat asal.
Selain itu, laluan masuk lebih 18 kilometer ke kawasan perkampungan itu juga tidak ubah seperti kawasan baharu diteroka manusia kerana jalan itu dipenuhi selut dan tanah yang dibawa arus banjir.
Turut terjejas, Ahmad Zamri Daud, 55, yang mengalami kerugian hampir RM80,000 apabila rumah dah bengkel besinya di tengelami air.
"Kejadian berlaku dengan pantas, tiada apa yang saya dapat selamatkan...kesemua peralatan di bengkel rosak sepenuhnya.
"Air hanya surut petang semalam, apabila saya lihat semua barangan dalam rumah dan bengkel yang penuh dengan selut... saya hanya terfikir bagaimana nak mula semuanya balik," katanya yang berharap isu banjir di Kampung Jawa dapat ditangani pihak berkuasa dengan kadar segera.
Kawasan Hulu Langat seperti Batu 18, Sungai Lui dan Taman Sri Nanding adalah antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir sehingga menyebabkan ramai penduduk di kawasan itu tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka. - Bernama