NATO enggan tunduk dengan tuntutan Rusia

Iklan
Tentera Ukraine bertugas di barisan hadapan berhampiran bandar Svitlodarsk di Donetsk. - Foto Agensi

RUKLA - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak akan membiarkan Rusia menentukan kedudukan tentera pakatan tersebut.

Kenyataan tegas itu dikeluarkan Menteri Pertahanan Jerman, Christine Lambrecht pada Ahad ketika mengadakan kunjungan di pangkalan yang menempatkan pasukan tentera mereka di Rukla, Lithuania.

Iklan
Iklan

Lambrecht menyatakan NATO tidak akan tunduk dengan senarai tuntutan jaminan keselamatan dikemukakan Moscow termasuk memanggil pulang batalion NATO dari negara bekas Kesatuan Soviet iaitu Poland, Estonia, Latvia dan Lithuania.

Christine Lambrecht - Foto Agensi

Beliau bagaimanapun menyatakan sedia untuk berbincang tentang cadangan tersebut yang disifatkan Kremlin sebagai syarat penting untuk meredakan ketegangan bersama Ukraine.

Iklan

"Kita perlu menyelesaikan krisis semasa pada peringkat diplomatik. Kami akan bincangkan perkara tersebut, namun Rusia tiada hak untuk memberi arahan kepada tentera negara anggota NATO dan ia akan disuarakan ketika mesyuarat Majlis NATO pada minggu ini,” jelasnya.

Difahamkan, Berlin menempatkan unit tempur di Rukla kira-kira tiga tahun selepas Moscow menguasai Semenanjung Crimea pada 2014.

Iklan

Sementara itu, rakan sejawatannya di Lithuania, Arvydas Anusauskas mendakwa Rusia seperti cuba memecah-belahkan pakatan tersebut.

"Kita perlu menggagalkan rancangan Moscow dan menyokong Kiev dalam apa jua cara termasuk dalam penghantaran bekalan senjata,” ujarnya tanpa memberi butiran lanjut tentang jenis senjata tersebut.

Sebelum ini, Barat mengancam mahu mengenakan sekatan ekonomi terhadap Rusia jika ia berterusan menempatkan pasukan tentera di sempadan yang didakwa sebagai persediaan untuk melancarkan operasi ketenteraan terhadap Ukraine yang dikhuatiri bakal mencetuskan Perang Dunia Ketiga. - Agensi